X

Kindly register in order to view this article
!

Penyampaian Hishammuddin mantap, fokus masalah sosial: Penganalisis

Hishammuddin
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ternyata melaksanakan tanggungjawab pada hari pertama dengan mantap apabila memastikan penyampaian maklumat operasi keselamatan dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) turut diselitkan dengan isu masalah sosial.

Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Universiti Selangor (Unisel), Profesor Dr Zaidi Hajazi berkata, maklumat yang ringkas dan jelas sangat penting bagi mengelak rakyat keliru dan mula mendengar daripada pelbagai pihak yang tidak berautoriti.

Jelas beliau, terdapat inisiatif menarik diperkenalkan pasukan media Hishammuddin sendiri apabila sidang media beliau turut disertakan dengan jadual serta infografik teratur, kecuali pengumuman di luar jangkaan.

Zaidi
Zaidi

"Pada masa sama, tindakan tegas mesti diambil kepada pihak yang menyebar maklumat palsu dan mengelirukan.

"Maklumat yang disampaikan hendaklah dapat memberi pencerahan di samping menyelesaikan masalah rakyat. Ini sangat penting dalam proses penyelesaian konflik," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Hishammuddin yang juga Menteri Kanan Luar Negeri yang baru dilantik bertanggungjawab dalam Kluster Keselamatan pada 7 Julai lalu berjanji akan meneruskan penugasan diberikan dengan sebaiknya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini menggalas tugas itu dalam menyampaikan makluman keselamatan sejak 20 Mac tahun lalu sebelum dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, beliau akan menyelaras dan mengeluarkan kenyataan harian yang berkaitan 'Task Force' Operasi Pematuhan termasuk laporan kes penguatkuasaan undang-undang pasukan berkenaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dari seluruh negara.

Selain itu, turut dilaporkan mengenai pematuhan prosedur operasi standard, kawalan sempadan negara dan perkara lain daripada setiap agensi yang terlibat bagi memberi penjelasan kepada rakyat berhubung situasi semasa keselamatan khususnya sepanjang tempoh pelaksanaan PPN.

Pelantikan Hishammuddin memimpin Kluster Keselamatan juga seumpama mengulangi peranan sebelum ini pernah dilantik sebagai Menteri Pertahanan antara tahun 2013 hingga 2018 lalu.

Dalam pada itu, Zaidi berpendapat, Hishammuddin disarankan untuk memastikan koordinasi maklumat-maklumat daripada kementerian lain dapat dilaksanakan bersama dalam pengumuman harian sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ketika ini.

Tambah beliau, perkara ini termasuklah melibatkan isu masalah sosial seperti sistem sokongan sosial, aspek pencegahan dan pemulihan.

Selain itu, beliau menyarankan Hishammuddin turut menyentuh pelbagai lagi aspek lain yang dapat mengurangkan beban mental rakyat.

"Apabila ingin menyelesaikan masalah sosial, ada aspek lain yang juga perlu diberi perhatian. Aspek sistem sokongan sosial seperti kaedah dan tempat rakyat mendapat pertolongan juga perlu diberi keutamaan.

"Contohnya makluman berhubung bantuan, talian hayat atau bantuan ahli Parlimen juga boleh mengurangkan perasaan marah dan panik rakyat," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!