DUN Kelantan dijangka lulus dua RUU baharu

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang akan mewakili titah diraja oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang akan diadakan pada 23 Ogos ini. - Foto Pejabat Menteri Besar
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang akan mewakili titah diraja oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang akan diadakan pada 23 Ogos ini. - Foto Pejabat Menteri Besar
A
A
A

KOTA BHARU - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang diadakan pada 23 Ogos ini dijangka meluluskan dua rang undang-undang (RUU) yang baharu.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub berkata, persidangan itu akan dilaksanakan secara bersemuka selama tiga hari sehingga 25 Ogos ini.

Menurut beliau, antara intipati sidang DUN adalah perbahasan titah diraja dan dua RUU baharu yang akan diluluskan.

“Dua RUU yang akan diluluskan tersebut bagaimanapun belum dapat disebutkan lagi.

“Sudah diluluskan baru akan diberitahu RUU yang berkaitan,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.

Mengulas lanjut, titah diraja oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada sidang itu akan diwakilkan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

“Adat ‘pembukaan dewan’ pada waktu bukan pandemik Tuanku akan berangkat untuk perasmian persidangan.

“Oleh sebab pandemik, Tuanku tidak berangkat maka titah baginda akan diwakilkan kepada menteri besar menggantikan tuanku untuk perasmian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kali terakhir, DUN Kelantan bersidang bersama 45 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada April tahun lalu semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebelum ini, keputusan bersidang secara bersemuka dibuat dengan mengambil kira jumlah ADUN yang lebih kecil berbanding ahli Parlimen pada persidangan Parlimen.