Jumlah dagangan Malaysia capai RM188.7 bilion

Dr Mohd Uzir
Dr Mohd Uzir
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah dagangan Malaysia pada Jun 2021 berkembang sebanyak 29.3 peratus mencapai RM188.7 bilion, mengekalkan momentum selama tujuh bulan berturut-turut dan tahun ke tahun selari dengan prestasi dagangan global.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, dalam tempoh itu, eksport negara turut meningkat 27.2 peratus sementara import tumbuh 32.1 peratus menjadikan lebihan dagangan mencecah RM22.2 bilion meningkat 11.7 peratus.

Menurut beliau, pertumbuhan eksport pada Jun lalu selari dengan pemulihan ekonomi global yang mana pembukaan aktiviti ekonomi di luar negara menandakan permintaan luaran yang lebih baik.

“Eksport Malaysia meningkat 27.2 peratus, didorong eksport domestik dan eksport semula. Eksport domestik bernilai RM84.7 bilion menyumbang 80.3 peratus pada jumlah eksport, meningkat 21 peratus tahun ke tahun. Sementara itu, eksport semula mencatatkan RM20.8 bilion, meningkat 61.2 peratus.

“Import pada Jun 2021 pula berjumlah RM83.2 bilion, naik 32.1 peratus berbanding Jun 2020, melebihi pertumbuhan eksport bagi dua bulan berturut-turut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Uzir berkata, prestasi bulan ke bulan bagi eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan juga menunjukkan trend menaik masing-masing 14.3 peratus, 5.9 peratus, 10.4 peratus dan 61.7 peratus.

“Selaras dengan pertumbuhan tahunan, 144 daripada 254 kumpulan barangan untuk eksport menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya manakala bagi import, 200 daripada 257 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif,” ujarnya.

Beliau menambah, peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Amerika Syarikat (+RM3.1 bilion), China (+RM2.7 bilion), India (+RM1.8 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.7 bilion), Singapura (+RM1.7 bilion) dan Australia (+RM1.4 bilion).

Artikel Berkaitan:

“China terus menjadi penyumbang utama pada kenaikan import (+RM6.1 bilion), diikuti Indonesia (+RM2.4 bilion), Republik Korea (+RM2.1 bilion), Kesatuan Eropah (+RM2.0 bilion), Jepun (+RM1.4 bilion) dan Taiwan (+RM1.3 bilion),” katanya.

Sementara itu, bagi tempoh sama, pertumbuhan import penggunaan akhir disokong kenaikan permintaan terutamanya bagi barangan perantaraan dengan (52.5 peratus daripada jumlah import) berjumlah RM43.7 bilion, meningkat ketara RM8.8 bilion atau 25.3 peratus.

Ujarnya, barangan penggunaan (8.8 peratus daripada jumlah import) mencatatkan kenaikan 19.2 peratus daripada RM6.2 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM7.3 bilion manakala import barangan modal berjumlah RM8.6 bilion meningkat 15.2 peratus berbanding Jun 2020 dan merangkumi 10.3 peratus daripada jumlah import.