X

Kindly register in order to view this article
!

Ambil contoh negara luar, sekat budaya terima dana luar

Gambar hiasan. Gambar kecil: Sivamurugan
A
A

SHAH ALAM - Semua parti politik di negara ini disarankan untuk mengambil contoh negara luar dengan menyekat amalan menerima dana daripada pihak luar.

Penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, negara luar tersebut ialah Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) yang mana tidak membenarkan sebarang organisasi untuk menderma kepada sesebuah parti.

Selain itu, katanya, dana yang dihulurkan daripada negara luar juga tidak seharusnya diterima kerana ia akan mempengaruhi dari sudut politik domestik.

“Ini adalah budaya politik. Kalau kita perhatikan, untuk sekian lamanya ia sudah menjadi satu amalan. Untuk memastikan wujudnya satu undang-undang yang dapat kawal selia dana politik ini, ia harus melihat kepada punca mengapa isu ini membesar.

“Bagi saya, dalam kontek ini kita harus melihat sejauh mana wujudnya keazaman politik dalam kalangan pemimpin dan parti politik untuk bersama memastikan bahawa akta ini dapat dilaksanakan,” katanya dalam program Wacana Sinar edisi ke-276 yang bertajuk 'Dana Politik: Kenapa Perlu Rahsia' yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut serta sebagai panelis ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafli; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamuddin; manakala Ismail Adnan bertindak selaku moderator.

Sementara itu, Sivamurugan berkata, apabila sesebuah organisasi menderma kepada parti, ia akan membentuk satu ikatan antara parti politik dan organisasi.

“Organisasi yang menderma dengan pelbagai cara, secara langsung dan tidak langsung, sebenarnya sudah membawa satu ikatan. Sudah pasti organisasi ini mahukan ganjaran, misalnya di akhir pilihan raya,” ujarnya.

Menurut beliau, jawatankuasa kawal selia dana tersebut telah diwujudkan pada tahun 2015 oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama sekretariat Institut Integriti Malaysia.

Katanya, cadangan yang dikemukakan tidak diangkat kerana dalam kalangan parti pembangkang ketika itu merasakan tidak wajar untuk mengemukakan nama yang telah mengeluarkan dana.

“Kita sudah membesarkan budaya ini untuk sekian lama. Kita merasakan dana ini penting bukan sahaja untuk digunakan sebagai perjalanan parti politik, tetapi menyokong pelbagai bentuk aktiviti program.

“Bagi saya, sudah tiba masanya untuk mewujudkan keazaman politik dalam kalangan pemimpin. Ia bagi mengangkat integriti dalam memastikan budaya politik yang diamalkan mampu mempengaruhi literasi politik keatas dana.

"Ini harus kita diperbaiki khususnya dalam kalangan pemimpin muda,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!