Duda, janda kena cekup edar dadah

A.Asmadi menunjukkan dadah heroin yang berjaya dirampas dalam serbuan itu.
A.Asmadi menunjukkan dadah heroin yang berjaya dirampas dalam serbuan itu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kelicikan duda dan janda yang menjalankan kegiatan pengedaran dadah tidak berpanjangan setelah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri berjaya melumpuhkan aktiviti itu di sebuah rumah di Kampung Rampuan China, di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 12 tengah malam dan berakhir 1.15 pagi, pasukan berkenaan berjaya menahan kedua-dua suspek berusia 53 dan 43 tahun yang mendiami rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Superintendan A Asmadi Aziz berkata, hasil pemeriksaan di rumah tersebut pihaknya menemui satu paket lutsinar mengandungi dadah jenis heroin seberat 392 gram dengan nilai pasaran RM5,500 yang diletakkan dalam sebuah kotak di ruang tamu.

Menurutnya, hasil maklumat awal mendapati duda kepada lima anak dan janda tiga anak itu mula aktif dalam kegiatan itu sejak Oktober tahun lalu dan dipercayai mendapat bekalan daripada seorang lelaki bukan penduduk tempatan.

Katanya, polis percaya bekalan itu akan dibungkus dalam paket lutsniar yang kecil bagi mendapat keuntungan sebelum dijual kepada penagih sekitar kawasan terbabit.

"Serbuan dilakukan setelah menerima maklumat orang awam dan juga maklumat yang diperolehi lanjutan daripada penahanan beberapa suspek penagih dadah di kawasan itu dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek juga mendapati masing-masing positif dadah jenis Methamphetamine," katanya kepada pemberita ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Penyiasat Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, A Nimal Kumar.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kedua-dua mereka yang ketika itu meletakkan anak mereka berasingan di tempat lain turut memiliki rekod jenayah membabitkan kesalahan dadah sejak 10 tahun lalu.

Kedua-dua suspek kemudian direman selama tujuh hari sehingga 4 Mac depan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.