Empat kes positif Covid-19 di Parlimen dalam dua hari

Azhar Azizan Harun. - Foto Bernama
Azhar Azizan Harun. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak empat kes positif Covid-19 dikesan di kawasan Parlimen dalam tempoh dua hari sejak Selasa.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, berikutan itu, beliau menetapkan tempoh berbahas pada persidangan Parlimen hanya sehingga jam 5.30 petang.

“Kita sebenarnya tidak menuruti nasihat dan rekomendasi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang bersusah payah memberikan penekanan.

“Kalau nak ikut nasihat beliau, kita bersidang sehingga jam 2 petang sahaja kerana beliau amat gusar dan bimbang dengan keadaan Covid-19 di Parlimen.

“Semalam (Selasa) dan hari ini (Rabu) sahaja, sudah ada empat kes. Jadi risikonya agak tinggi. Sebab itu, saya tetapkan sehingga jam 5.30 petang untuk memberikan peluang kepada semua berbahas,” katanya pada Sidang Khas Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) yang mengusulkan supaya masa perbahasan dilanjutkan bagi memberi peluang kepada ahli Parlimen berbahas.

Azhar bagaimanapun berkata, beliau menyerahkan cadangan lanjutan masa kepada menteri yang bertanggungjawab untuk mempertimbangkannya.

Sebelum ini, dua ahli Parlimen dilaporkan positif Covid-19 dalam ujian saringan yang dilakukan sebelum sidang Dewan Rakyat bermula iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk) dan Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal).

Artikel Berkaitan: