Jumlah harian kes Covid-19 dijangka melambung ke paras tertinggi

Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF) sedang berusaha mengesan sebanyak mungkin kes positif Covid-19 di Lembah Klang. Gambar hiasan
Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF) sedang berusaha mengesan sebanyak mungkin kes positif Covid-19 di Lembah Klang. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA- Jumlah kes harian positif Covid-19 dijangka akan terus melambung ke paras tertinggi dalam masa terdekat.

Ia susulan Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF) sedang berusaha mengesan sebanyak mungkin kes positif Covid-19 di Lembah Klang.

Pengerusinya, Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata, tindakan itu bagi mengurangkan penularan wabak dalam komuniti.

"Jika anda berada di Greater Klang Valley dan mengalami gejala Covid-19, anda perlu menganggap bahawa diri anda berkemungkinan telah dijangkiti dan perlu menjalani ujian saringan," katanya.

Menurutnya, ujian saringan boleh dilakukan menerusi ujian RTK-AG dan kit ujian kendiri yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dengan menggunakan sampel air liur.

"Selepas disahkan positif, pesakit perlu menjalani isolasi di rumah, membuat notifikasi dan pemantauan kendiri melalui aplikasi MySejahtera," katanya.

Beliau berkata, pengasingan kendiri di kediaman adalah bagi pesakit tidak bergejala dan bergejala ringan yang tidak perlu ke hospital serta boleh sembuh sendiri.

"Kami tidak mahu hospital mengalami kesesakan dengan kes ringan dan akan mengutamakan rawatan terhadap pesakit yang lebih teruk," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Chee Keong berkata, kakitangan kesihatan akan menghubungi mereka yang ‘red flagged’ sebagai pesakit yang berisiko tinggi untuk tampil ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) atau hospital.

Ujarnya, dengan lebih banyak kes positif dan kontak rapat dikesan, pesakit akan diasingkan serta dikuarantin seterusnya kes harian mula berkurangan dalam beberapa minggu akan datang.

"Sekiranya langkah ini dapat dicapai, strategi ujian Covid-19 dapat disusun semula bagi memastikan pengesanan kes untuk pengasingan dan pemantauan adalah lebih berkesan," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menyifatkan penularan Covid-19 merupakan krisis terburuk pernah dialami negara melibatkan komuniti dan perkhidmatan kesihatan.

"Namun, kami masih belum berputus asa dan akan kekal tabah untuk melakukan apa yang terbaik.

"Kami juga amat berterima kasih kerana memahami keterbatasan dan atas sokongan kuat yang telah diberikan," katanya.