Muip agih zakat khas lebih RM40 juta

Foto muip.gov.my
Foto muip.gov.my
A
A
A

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) mengagihkan zakat khas lebih RM40 juta dari tahun lalu hingga Jun tahun ini bagi membantu umat Islam di Pahang yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Timbalan Yang Dipertua Muip, Tengku Panglima Raja, Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkata, daripada jumlah itu, RM15,181,905 diagihkan melalui bantuan Covid-19 tahun lalu manakala pada Januari sehingga Jun tahun ini, RM24,869,500 diagihkan.

"Daripada keseluruhan bantuan Covid-19 itu, sebanyak RM32,032,300 diagihkan secara tunai melalui E-Asnaf melibatkan 107,071 penerima manakala selebihnya diagihkan dalam bentuk barangan keperluan asas.

"Pihak Muip turut mewujudkan program tambahan 'Dapur Zakat, bagi membantu golongan terputus bekalan makanan dalam tempoh pandemik Covid-19 di negeri ini.

"Usaha ini seiring dengan titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan bantuan turut dihulurkan kepada golongan itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Pusat Kutipan Zakat dan pengurusan 663 masjid di negeri Pahang.

Dalam pada itu,Tengku Amir Nasser berkata, pihak pengurusan setiap masjid diminta supaya mewujudkan satu ruang ‘Dapur Zakat’ untuk menyediakan barangan keperluan asas khusus kepada ahli kariah yang terputus bekalan makanan sepanjang pandemik Covid-19.

"Pihak Muip telah memperuntukkan dana RM5 juta bagi menjayakan program ini.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai pemulaan untuk menyediakan keperluan asas tersebut pihak Muip menyalurkan sumbangan RM1,000 mulai Jun lalu ke dalam setiap akaun masjid di Pahang dengan jumlah keseluruhannya RM663,000," katanya.

Tambah beliau, pihak Muip meluaskan lagi program ‘Dapur Zakat’ di setiap cawangan Pasar Raya Darul Makmur bagi memudahkan asnaf mengambil keperluan asas diperlukan.