Firma guaman syarie boleh kemuka permohonan operasi

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. - Gambar fail Bernama
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. - Gambar fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA- Firma guaman syarie kini boleh mengemukakan permohonan bagi pengoperasian pejabat sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, permohonan boleh dibuat melalui sistem Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) - Covid-19 Intelligent Management System (CIMS).

"Ia bagi sektor guaman syarie yang mempunyai empat subsektor iaitu khidmat nasihat profesional guaman syarie, perkhidmatan guaman Syariah, perkhidmatan khidmat nasihat dan peguam syarie bagi tuntutan harta pusaka, hibah dan wasiat dan perkhidmatan perunding keluarga Islam," katanya.

Menurut beliau, permohonan itu akan diuruskan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi tujuan pertimbangan untuk kelulusan pengoperasian tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP).

"Saya mengharapkan peluang ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua peguam syarie di seluruh negara dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau turut mengingatkan agar firma guaman syarie menjalankan tanggungjawab dengan mematuhi SOP bagi mengelakkan berlakunya penularan Covid-19 semasa pengoperasian pejabat.

"Gunakanlah pendekatan yang terbaik sebagaimana yang telah ditetapkan oleh MKN bagi pengurusan kes di Mahkamah Syariah," katanya.

Artikel Berkaitan: