Hina Nabi: Pas Negeri Sembilan gesa tindakan tegas dikenakan

Rafie menunjukkan laporan polis.
A
A

SEREMBAN - Badan Perhubungan Pas Negeri Sembilan hari ini membuat laporan polis meminta pihak berkuasa mengambil tindakan kepada dua individu yang menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Saidatina Aisyah RA di laman sosial.

Pemangku Pesuruhjaya Pas Negeri, Rafiei Mustapha berkata, laporan polis dibuat susulan tindakan biadab mereka menghina Baginda dengan membuat penularan gambar kartun dalam keadaan berbogel yang dikongsi di laman sosial pemilik akaun terbabit.

“Tindakan pengguna facebook terbabit amat melampau dan keterlaluan kerana memuat naik gambar kartun seorang lelaki bersama kanak-kanak yang digambarkan sebagai Baginda dan isteri.

“Lelaki dewasa itu ditulis dengan perkataan Muhammad dan kanak-kanak berusia enam tahun sebagai Aisyah,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Derah Seremban bersama lebih 30 ahli Pas negeri, hari ini.

Semasa sidang media berlangsung, kelihatan beberapa individu menangis kerana terlalu sedih dan sebak dengan cara penghinaan terhadap junjungan Nabi Muhammad SAW, yang dilakukan oleh dua individu itu.

Antara ahli Pas Negeri menunjukkan laporan polis.
Antara ahli Pas Negeri menunjukkan laporan polis.

Tambah Rafie, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan sewajarnya.

“Kami mahu siasatan dan tindakan undang-undang diambil terhadap pemilik akaun facebook yang sengaja mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.

“Penghinaan yang dibuat terhadap Nabi Muhammad SAW dan isteri amat keterlaluan dan sangat melampau, boleh mencetuskan pergaduhan antara kaum," katanya.

Menurutnya, para ulama sepakat bahawa hukuman bagi orang yang menghina Rasulullah SAW ialah hukuman mati, sehubungan itu tindakan tegas dan berat perlu dikenakan terhadap dua individu itu.

Katanya, keamanan dan kestabilan negara terjamin dengan tindakan tegas serta profesional oleh pihak berkuasa dan cara kerajaan menangani isu ini.