RM5.8 bilion peruntukan keseluruhan pelaksanaan PICK

Vaksinator kesihatan menyediakan suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech menggunakan picagari khas 'Low Dead Volume' (LDV) pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Pemberian Vaksin secara pandu lalu di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan. - Foto Bernama
Vaksinator kesihatan menyediakan suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech menggunakan picagari khas 'Low Dead Volume' (LDV) pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Pemberian Vaksin secara pandu lalu di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM5.8 bilion peruntukan keseluruhan yang disediakan bagi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM4.8 bilion disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala RM1 bilion disalurkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Pelaksanaan PICK menuntut satu perbelanjaan yang besar kepada negara.

“Sudah pastinya, jumlah peruntukan sebanyak RM5.8 bilion ini menimbulkan persoalan tentang bagaimana wang ini telah dan akan dibelanjakan,” katanya pada Sidang Khas Dewan Rakyat pada Rabu.

Mengulas lanjut, Khairy yang merupakan Menteri MOSTI berkata, berkenaan perkara terbabit, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah mengadakan prosiding sebanyak dua kali. Kali pertama adalah pada 5 Januari lalu, beliau dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba telah memberikan keterangan.

“Semalam (Selasa), saya sekali lagi telah memberikan keterangan di hadapan ahli-ahli PAC.

“Dalam prosiding PAC ini, dokumen perjanjian perolehan vaksin serta butiran perbelanjaan bagi PICK telah dibentangkan

“Selain PAC, pada hari Jumaat yang lalu juga, MOSTI yang diwakili Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian telah memberikan keterangan di dalam prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Khairy berkata, satu taklimat dengan jemputan kepada semua ahli Parlimen juga telah diadakan pada 22 Mac lalu di Dewan Seri Siantan, Putrajaya.