MBSJ roboh lima struktur bangunan haram

Lima struktur bangunan dibina secara tidak sah dirobohkan MBSJ pada Selasa.
Lima struktur bangunan dibina secara tidak sah dirobohkan MBSJ pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sebanyak lima struktur bangunan yang dibina secara tidak sah di susur Jalan Besar Kampung Bukit Lanchong di Subang Jaya dirobohkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada Selasa.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid memaklumkan, pihaknya melaksanakan operasi itu berikutan kegagalan pemiliknya meruntuhkan bangunan yang dibina.

"Operasi dijalankan berikutan kegagalan pemilik struktur binaan tanpa kebenaran ini meruntuhkan sendiri binaan (dibina) tanpa kelulusan MBSJ di atas tanah rezab jalan dan parit milik MBSJ setelah tiga kali notis dikeluarkan.

"Lanjutan daripada tindakan pengeluaran notis itu, lima unit struktur binaan tanpa kebenaran diambil tindakan peruntuhan di bawah Seksyen 72 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana kesalahan di bawah Seksyen 70 akta sama iaitu mendirikan bangunan tanpa kebenaran MBSJ," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, operasi peruntukan bangunan tidak sah berkenaan dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, ia dilaksanakan dengan kekuatan lima kakitangan teknikal Jabatan Kawalan Bangunan dan dibantu 16 anggota penguatkuasa MBSJ, 43 kakitangan Jabatan Pelesenan, Jabatan Kejuruteraan dan Jabatan Pengurusan Alam Sekitar.

"Operasi ini diketuai Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kawalan Bangunan, MBSJ, Mohd Safiee Junun," katanya.

Turut serta seramai 27 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Subang Jaya, Deputi Superintendan Abdel Nasser S Salleh bagi mengawal keselamatan dan lalu lintas.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pemantauan berkala akan diteruskan dari masa ke masa dan pihak MBSJ menyeru orang awam agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan khususnya dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.