PATI warga Indonesia cuba masuk Malaysia positif Covid-19

 Tiga daripada lima PATI warga Indonesia yang ditahan maritim selepas cubaan menyusup masuk ke Tawau malam tadi, didapati positif Covid-19. Foto Maritim
Tiga daripada lima PATI warga Indonesia yang ditahan maritim selepas cubaan menyusup masuk ke Tawau malam tadi, didapati positif Covid-19. Foto Maritim
A
A
A

TAWAU - Tiga daripada lima pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas cubaan menyusup masuk ke Tawau malam tadi, didapati positif Covid-19.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, lima pendatang haram itu berusia antara 15 hingga 58 tahun yang menaiki sebuah bot penumpang dari arah Indonesia, ditahan pada 11.45 malam di kedudukan dua batu nautika barat daya Tanjung Batu, Tawau.

"Hasil ujian saringan RTK Antigen mendapati tiga pendatang terbabit positif Covid-19 dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil tindakan lanjut, KKM akan menyiasat serta memanggil semua kontak rapat dalam kes ini untuk ujian pengesanan Covid-19.

"Turut ditahan juragan bot warga tempatan berumur 17 tahun yang bertindak agresif dengan memecut laju bot selepas menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia hingga hilang kawalan dan bot terbalik, kesemua mereka diselamatkan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata kesemua penumpang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan memberi alasan insiden bot terbalik menyebabkan kesemua dokumen jatuh ke laut.

Dalam pada itu, Siva Kumar memberitahu, tangkapan itu hasil maklumat risikan mengenai bot penumpang tempatan yang menjalankan aktiviti membawa masuk pendatang haram melalui perairan Tawau.

Katanya, pemantauan melalui Op Cegah PATI Selatan Covid-19 oleh bot ronda Maritim Malaysia semalam mengesan bot penumpang tempatan itu yang bergerak dari arah sempadan perairan Indonesia-Malaysia menuju ke Tawau dalam keadaan mencurigakan. -Bernama

Artikel Berkaitan: