X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19 punca krisis terburuk dalam komuniti, penjagaan kesihatan

Gambar hiasan
A
A

PUTRAJAYA - Penularan Covid-19 menjadi punca berlakunya krisis terburuk dalam komuniti dan perkhidmatan kesihatan di negara ini.

Bagaimanapun Pengerusi Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF), Datuk Dr Chong Chee Kheong menegaskan, pihaknya tidak berputus asa dan kekal tabah.

"Kami juga amat berterima kasih kerana memahami keterbatasan kami dan atas sokongan kuat diberikan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, orang ramai digalakkan melakukan RTK-Ag dan ujian kendiri menggunakan kit ujian yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bagi mengesan kehadiran Covid-19.

"Kami menjangkakan jumlah kes terus meningkat untuk beberapa hari.

"Tetapi jangan khuatir kerana kami cuba sedaya upaya untuk mengesan sebanyak mungkin kes positif bagi mengurangkan penularan wabak dalam komuniti kita," katanya.

Tambah beliau, dengan lebih banyak kes positif dan kontak rapat, mereka akan diasingkan dan dikuarantin, kes mula berkurangan dalam beberapa minggu.

"Jika ini dapat dicapai, strategi ujian Covid-19 dapat disusun semula bagi memastikan pengesanan kes untuk pengasingan dan pemantauan adalah lebih berkesan," katanya.

Dr Chee Keong yang juga Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, GKV STF merangka beberapa langkah strategik bagi mengoptimumkan perkhidmatan perawatan, mengurangkan penularan virus dan menyediakan perkhidmatan sokongan kepada komuniti dan petugas kesihatan.

"Melihat kepada situasi terkini, strategi pengurusan wabak berubah daripada membendung kepada mitigasi dalam usaha mencegah kematian dan meminimumkan penyebaran penyakit," katanya.

Menurutnya, antara inisiatif utama dilakukan adalah mengenalpasti kapasiti katil, penjagaan unit rawatan rapi (ICU), bekalan oksigen, mobilisasi tenaga kerja dan penglibatan sukarelawan.

Pihaknya juga mengukuhkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dengan melaksanakan Virtual CAC kepada individu tidak bergejala dan bergejala ringan serta memperkukuh pengurusan pemantauan pesakit di rumah.

"Kami juga menawarkan lebih banyak ujian RTK-Ag di klinik-klinik kesihatan dan kepada pengamal-pengamal perubatan am melalui penjualan kit ujian kendiri bagi membolehkan lebih banyak ujian dijalankan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!