Polis siasat media ceroboh masuk PKRCB MAEPS Serdang

PDRM
PDRM
A
A
A

SEPANG - Polis menerima laporan daripada pihak Pengurusan Hospital Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid Bersepadu (PKRCB) MAEPS Serdang berhubung kes enam pengamal media masuk ke kawasan itu tanpa kebenaran pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Md Noor Aehawan Mohamed berkata, kawasan tersebut merupakan sebuah dewan menempatkan seramai 496 pesakit wanita positif Covid 19.

"Dewan di kawasan PKRCB Maeps Serdang diwartakan sebagai tempat Pusat Kuarantin dan Rawatan Penyakit Berjangkit (Covid19) dan orang luar dilarang memasuki kawasan tersebut tanpa kebenaran," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Md Noor berkata, salah seorang dari media tersebut membuat secara langsung semasa berada di dalam dewan itu.

"Setakat ini, kita telah merakam keterangan seramai 17 orang kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia yang terdiri daripada doktor dan jururawat yang bertugas semasa kejadian bagi membantu siasatan serta mendapatkan pengesahan mengenai kehadiran media dalam dewan tersebut," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh kawasan.

"Kes turut disiasat mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard.

"Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan membuat rakaman dan 'live' di dalam kawasan yang dilarang sehingga menampakkan pesakit Covid-19 yang sedang dirawat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Md Noor menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian dan tindakan yang boleh menyebabkan timbul kegusaran terhadap orang awam.

"Kita akan melengkapkan siasatan ini dengan segera sebelum kertas siasatan dimajukan kepada timbalan pendakwa raya," katanya.