'Saya letih fizikal, mental'

Fernandes
Fernandes
A
A
A

PEMAIN tengah Manchester United, Bruno Fernandes mengakui dia keletihan dari segi mental dan fizikal walaupun mampu tampil cemerlang bersama The Red Devils pada musim lalu.

Pemain kelahiran Portugal itu meledak 28 gol dan 17 bantuan gol dalam 58 penampilan sepanjang musim 2020/ 2021 dan hanya tidak diturunkan sekali dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selain tampil dalam 15 perlawanan di peringkat tertinggi Eropah.

Walaupun statistik cemerlang dipamerkan Fernandes, namun prestasinya tampak menurun di fasa akhir musim sekali gus dia gagal membantu United yang tewas pada aksi final Liga Europa ketika menentang Vilarreal selain kurang cemerlang bersama Portugal pada Euro 2020.

Menurut Fernandes, musim lalu dirasakannya agak panjang selain dipengaruhi situasi berpunca pandemik Covid-19 yang memberikan kesan kepada dirinya dan semua pemain lain.

"Menjadi sesuatu yang bagus untuk kembali bersama pasukan selepas bercuti. Ketika anda berada di kelab dan anda tiba di akhir musim, mulai berfikir bahawa anda keletihan, perlu berehat dan bertemu dengan keluarga.

"Pada dasarnya musim lalu saya ibaratkan seperti dua musim yang menjadi satu kerana (situasi) Covid-19.

"Kami cuma mempunyai kira-kira lima hari setelah pertandingan separuh akhir Liga Europa melawan Sevilla (pada 2020) untuk berehat dan kembali bermain di musim baru. Jadi pada asasnya tiada rehat dan terus bermain di musim baharu.

"Tetapi selepas rehat, untuk kembali berlatih adalah perkara yang cukup bagus. Kembali bertemu dengan rakan-rakan dan berlatih bersama mereka selain menjadi sebahagian daripada pasukan," katanya.

Artikel Berkaitan: