Sindiket rokok seludup terbesar di Kluang tumpas

Suspek ditahan bersama rokok seludup di sebuah rumah kosong di Paloh, Kluang pada Selasa. - Foto PGA
Suspek ditahan bersama rokok seludup di sebuah rumah kosong di Paloh, Kluang pada Selasa. - Foto PGA
A
A
A

KLUANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membongkar taktik sindiket penyeludupan rokok yang menjadikan sebuah rumah kosong sebagai stor penyimpanan menerusi penahanan seorang suspek di Jalan Murni 6, Paloh di sini pada Selasa.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Simpang Renggam, Superintendan Dimin Awang berkata, penahanan lelaki tempatan berusia 59 itu dilakukan pada jam 9.30 malam.

"Hasil siasatan awal terhadap suspek dipercayai menjadikan premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar daerah Kluang.

"Sebanyak 5,580 karton rokok dan sebuah telefon bimbit dirampas dengan anggaran nilai rokok RM269,324 dan nilai cukai rokok mencecah RM717,132 menjadikan keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM987,456. Turut dirampas sebuah telefon bimbit milik suspek.

“Ia secara tidak langsung menjadikan rampasan ini sebagai rampasan yang terbesar bagi sindiket penyeludupan rokok tidak bercukai kastam di Kluang," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Menurut Dimin, suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Beliau turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan boleh menyalurkan maklumat kepada polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban.

Artikel Berkaitan: