Batal Ordinan Darurat penghinaan kepada Dewan Rakyat

Mohd Zaidy
Mohd Zaidy
A
A
A

SEREMBAN - Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang membatalkan Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu disifatkan penghinaan kepada Dewan Rakyat.

Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, ia juga menunjukkan kerajaan mengenepikan undang-undang negara kerana penamatannya tidak bersandarkan panduan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Pengumuman ini amat mengejutkan kerana penamatan Ordinan Darurat itu sebenarnya telah dibuat lima hari sebelum diumumkan kepada rakyat dan dimaklumkan kepada Dewan Rakyat.

"Ia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan merupakan satu kesalahan besar kerana bakal menjadi rujukan pada masa akan datang atau menjadi precedent kepada generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, menteri yang bertanggungjawab yang dijangka memberi jawapan mengenainya di Dewan Rakyat Isnin depan diharap tidak memberi jawapan retorik.

Selain itu katanya, Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyambut baik keputusan kerajaan untuk tidak menyambung Proklamasi Darurat selepas tamat 1 Ogos ini.

Pihaknya bagaimanapun, tidak bersetuju pelaksanaannya sejak awal lagi kerana ia hanya menyekat sesi semak dan imbang dalam setiap keputusan kerajaan ketika negara sedang mendepani cabaran akibat Covid-19.

"Selepas beberapa bulan darurat dilaksanakan, kebimbangan Pemuda UMNO ada asasnya kerana kes Covid-19 langsung tidak menurun, malah semakin meningkat berkali ganda semasa dalam tempoh darurat.

Artikel Berkaitan:

"Malah sistem kesihatan negara menjadi semakin kronik apabila hospital kerajaan tidak lagi mampu untuk menampung jumlah pesakit Covid-19 yang semakin meningkat," katanya.

Meskipun kerajaan menyediakan pelbagai pakej rangsangan, namun keadaan ekonomi negara dan rakyat juga semakin membimbangkan dalam tempoh ini.

Menurut beliau, pakej-pakej rangsangan itu hanya bersifat populis dan langsung tidak realistik dengan keadaan semasa yang sedang dihadapi oleh rakyat.

"Paling dibimbangkan angka rakyat yang hilang pekerjaan makin bertambah dan ini menyebabkan makin ramai rakyat tidak lagi mampu menyediakan keperluan asas untuk keluarga.

"Walhal, pada awalnya ketika kerajaan mengumumkan darurat, mereka memberi alasan utama untuk membendung pelbagai masalah akibat daripada impak pandemik Covid-19 ketika ini," katanya.

Mohd Zaidy berkata, darurat yang dilaksanakan kerajaan ternyata gagal mencapai objektif, sebaliknya ia memburukkan lagi keadaan.

Keadaan ini kata beliau, menimbulkan persepsi dalam kalangan rakyat bahawa Proklamasi Darurat itu adalah untuk melindungi kerajaan dan Perdana Menteri untuk terus berkuasa.

"Betul atau tidak, tetapi itulah persepsi rakyat ketika ini," katanya.