Semangat juang peniaga kecil harungi pandemik Covid-19

Siti Rafitah menunjukkan piza durian yang juga dijual di Tapak Food Truck Putrajaya Presint 14.- Foto Bernama
Siti Rafitah menunjukkan piza durian yang juga dijual di Tapak Food Truck Putrajaya Presint 14.- Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Tatkala sebilangan besar peniaga terpaksa 'tunduk' kepada pandemik Covid-19, segelintir usahawan kecil di sini masih mampu bertahan selepas mengubah strategi perniagaan selain mempunyai semangat juang yang tinggi.

Seorang peniaga, Siti Rafitah Rakhimi, 37, yang mengusahakan trak makanan di Presint 14 di sini, sedar beliau tidak boleh lagi bergantung pada kaedah itu semata-mata jika mahu piza jenama sendiri yang dibangunkannya, Alla Piccola Italia (API), terus bertahan.

Justeru, seperti ribuan usahawan yang lain, beliau beralih kepada perniagaan dalam talian dengan pasaran bertumpu di sekitar daerah ini dan Cyberjaya.

“Sebelum Covid-19, saya beranggapan tapak berniaga seharusnya mempunyai ramai pelanggan. Namun, pandangan itu berubah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila semua tempat mengalami kesan sama akibat wabak tersebut," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau kemudian beralih kepada perniagaan dalam talian sejurus PKP 1.0 berkuat kuasa dengan promosi dibuat menerusi edaran risalah ke rumah selain media sosial Facebook dan Instagram.

“Saya tidak boleh biarkan perniagaan yang saya usahakan sejak 2019 ini ‘berkubur’ dan sasaran saya ialah pelanggan tetap yang menggemari piza air tangan saya,” kata wanita kelahiran Kedah itu yang memiliki ijazah sarjana dalam bidang sumber manusia daripada Universiti Putra Malaysia itu.

Pemegang ijazah bidang sumber manusia, Universiti Putra Malaysia itu memberitahu, sebelum ini terdapat 14 peniaga trak makanan di Presint 14, namun kini hanya empat yang masih beroperasi termasuk beliau.

“Ada rakan peniaga kini terpaksa melakukan kerja lain termasuk menjadi pemandu e-hailing. Pada ketika ini, bukan lagi isu keuntungan yang diutamakan, sebaliknya memastikan peniagaan itu mampu bertahan,” katanya yang mengakui hampir terduduk apabila PKP 1.0 dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

“Bayangkan, perniagaan belum berusia setahun dan saya masih dalam usaha menaikkan jenama API apabila tiba-tiba Covid-19 melanda,” katanya yang memulakan perniagaan itu dengan modal RM150,000 hasil bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Menurutnya, semangat juang beliau bertambah kuat apabila mengenangkan nasib dua pekerja yang bersama-sama beliau sejak awal perniagaan.

Kata Rafitah, sebelum PKP, beliau mampu mencatat hasil jualan RM4,000 hingga RM5,000 seminggu, namun pelaksanaan sekatan pergerakan itu menyebabkan perniagaan merudum. Dia memperoleh sekitar RM1,000 hingga RM2,000 sahaja.

Bagaimanapun, keadaan kini bertambah baik apabila tempahannya meningkat saban hari.

Siti Rafitah (atas trak makanan) membuat piza sambil pekerjanya melayani pelanggan di Tapak Food Truck Putrajaya Presint 14. - Foto Bernama
Siti Rafitah (atas trak makanan) membuat piza sambil pekerjanya melayani pelanggan di Tapak Food Truck Putrajaya Presint 14. - Foto Bernama

Siti Rafitah yang mempelajari cara-cara membuat piza melalui YouTube turut mempelbagaikan hiasan dengan 14 jenis piza yang dijual pada harga antara RM15 hingga RM30 mengikut jenis dan saiz.

Beliau turut menggaji dua rider bagi menghantar tempahan yang lazimnya memuncak antara jam 5 petang dan 8 malam.

"Pandemik ini mengajar saya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan tidak menentu. Kita harus sentiasa bersedia menghadapi apa jua keadaan walaupun dulu mungkin produk kita mendapat sambutan,” tambahnya.

Beliau juga bersyukur dengan bantuan kewangan sebanyak RM3,000 secara sekali bayar yang disediakan kerajaan menerusi Geran Khas Prihatin kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), yang sedikit-sebanyak meringankan beban kewangannya.

Sementara itu pengusaha Sarah Satay Ampang, Muhammad Hadi Abdul Rahim memberitahu, tujuh daripada 10 cawangan kedainya di sekitar Lembah Klang terpaksa ditutup akibat PKP tahun lepas.

Beliau yang masih berusaha mempertahan perniagaan yang diusahakan sejak 1981 itu menjelaskan, sebelum Covid-19, setiap cawangan tersebut mampu menjual hingga 3,000 cucuk sate setiap hari.

“Jualan merosot 50 peratus sejak PKP dilaksanakan pada Mac tahun lepas,” ujarnya yang berharap pandemik itu akan berakhir segera.

Menurutnya, walaupun ada bantuan kerajaan untuk PKS, peniaga kecil masih terbeban kerana terpaksa membayar sewa tapak dan gaji pekerja yang menyebabkan pegangan tunai hampir kering.

Apatah lagi, keadaan itu diburukkan lagi dengan kenaikan harga bahan mentah.

''Alhamdulillah, sekarang dapat berniaga walaupun hanya sampai 10 malam berbanding semasa PKP tahun lalu yang langsung tidak dibenarkan berniaga,” katanya. - Bernama