Van jenazah percuma Team Amal bantu keluarga kurang mampu

Foto ihsan Persatuan Amal Dan Jariah Sabah.
Foto ihsan Persatuan Amal Dan Jariah Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Meskipun belum sampai setahun beroperasi, perkhidmatan van membawa jenazah secara percuma dikendalikan Persatuan Amal dan Jenazah Sabah atau lebih dikenali Team Amal berjaya membantu keluarga yang kurang berkemampuan.

Pengasasnya Masrul Guding, 31, berkata sehingga kini Team Amal telah membawa 125 jenazah Islam dan lapan bukan Islam, termasuk 18 jenazah pesakit Covid-19.

Beliau yang berasal dari Lahad Datu berkata idea mewujudkan perkhidmatan itu timbul apabila kos penghantaran jenazah dari hospital ke kampung waris terutamanya di luar daerah agak tinggi dianggarkan hampir RM1,000.

Lelaki itu berkata ketika mula beroperasi pada Januari tahun ini hanya sebuah van terpakai milik sepupunya Soffian Jais, 36, dengan kos ubah suai RM20,000 digunakan untuk membawa jenazah pertama dari Hospital Likas ke Sepanggar.

"Ketika itu van berkenaan memang belum bersedia untuk digunakan sebab belum ada keranda, jadi saya bersama Soffian mengeluarkan duit simpanan masing-masing untuk mengubah suai van pertama itu supaya ia sesuai untuk membawa jenazah.

"Selepas itu ada individu bermurah hati memberikan van secara percuma selain hasil sumbangan dana daripada orang awam, sekarang kami mempunyai lima buah van dan satu daripada van itu diletakkan di daerah Lahad Datu supaya dapat membantu masyarakat di sana juga," katanya ketika ditemui Bernama.

Malah, bagi melancarkan urusan perkhidmatan itu, beliau berkata Soffian yang juga pengerusi persatuan itu akan membantu mengendalikan sepenuhnya operasi van jenazah.

Berkongsi pengalaman membawa jenazah yang meninggal dunia disebabkan Covid-19, Masrul berkata ia bukanlah mudah kerana memandu dengan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) amat mencabar apatah lagi ke kawasan kampung yang agak jauh seperti ke daerah Kudat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Team Amal adalah kumpulan keempat di Hospital Queen Elizabeth (HQE) yang mendapat tauliah daripada Kementerian Kesihatan untuk membawa jenazah Covid-19.

"Paling sedih apabila kita dapat tengok jenazah dari dekat walaupun lengkap PPE tetapi waris hanya melihat dari jauh, biarpun bukan ahli keluarga sendiri tetapi perasaan sedih itu tetap ada," katanya yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah pelabuhan di sini.

Katanya beliau yang dibantu 15 sukarelawan bersyukur kerana sejak mengendalikan perkhidmatan itu yang turut membawa jenazah Covid-19, mereka tidak dijangkiti virus berkenaan.

Masrul berkata melalui misi bantuan itu, mereka mengamalkan konsep 'tutup mata' iaitu membantu tanpa mengira bangsa dan agama kepada yang memerlukan.

Dalam pada itu, katanya dalam tempoh jangka masa panjang, Team Amal bercadang menyediakan sebuah lori berkelengkapan yang boleh digunakan untuk memandikan jenazah dengan kos dianggarkan sebanyak RM250,000.

Beliau berkata dengan adanya lori itu akan memudahkan proses memandikan jenazah malah Team Amal juga menjalin kerjasama dengan pihak berkaitan untuk belajar memandikan jenazah sebagai fardu kifayah.

"Saya juga mengalu-ngalukan golongan belia yang berminat untuk menyertai kami sebagai sukarelawan sekiranya tiada apa-apa aktiviti terutamanya pada musim Covid-19 ini," katanya. - Bernama