Rezeki dapat toman bunga 4.5kg

Mohd Shah Amri menunjukkan ikan toman dengan warna unik yang diperoleh di sungai Kampung Pulau Musang, di Kuala Terengganu, pada Jumaat.
Mohd Shah Amri menunjukkan ikan toman dengan warna unik yang diperoleh di sungai Kampung Pulau Musang, di Kuala Terengganu, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pemancing tidak menyangka joran yang dipasang sementara menunggu untuk mengangkat bubu udang di sungai Kampung Pulau Musang, di sini, berjaya menjinakkan seekor ikan toman bunga seberat 4.5 kilogram (kg).

Mohd Shah Amri Ismail, 31, berkata, ia adalah pengalaman pertama menaikkan ikan toman yang mempunyai warna badan menarik seakan biru kehijauan seperti warna pelangi.

Katanya, ikan itu berjaya dinaikkan ke darat dalam tempoh 15 minit pada jam 9 pagi, Jumaat lalu.

"Sepanjang pengalaman saya mengail ikan lebih 15 tahun lalu, ini kali pertama saya dapat pancing ikan toman bunga mempunyai warna yang cantik dan agak unik.

"Saya dapat ikan ini secara kebetulan kerana biasanya, sebelum ini saya hanya dapat ikan toman biasa mempunyai corak pada badan berwarna coklat kehitaman," katanya kepada Sinar Harian, pada Selasa.

Ikan toman bunga yang mengena joran Mohd Shah Amri pada Jumaat lalu mempunyai warna menarik iaitu hijau kebiruan.
Ikan toman bunga yang mengena joran Mohd Shah Amri pada Jumaat lalu mempunyai warna menarik iaitu hijau kebiruan.

Menurut Mohd Shah Amri, buat masa ini ikan toman agak sukar diperoleh kerana masih belum memasuki musimnya yang biasanya banyak didapati pada hujung tahun menjelang musim tengkujuh.

Artikel Berkaitan:

Ikan toman dengan warna unik itu katanya, jarang muncul di kebanyakan sungai di negara ini.

"Ada dua kaedah yang biasanya digunakan untuk mendapatkan ikan toman iaitu melalui teknik pancingan secara tahan tauk atau menggunakan gewang.

"Bagi spesies ikan toman yang saya peroleh ini agak sukar untuk diperoleh kerana saiznya agak besar dan memerlukan bantuan alatan lain ketika menjinakkannya ke darat, " katanya.

Untuk rekod, ikan toman bunga merupakan spesies tercantik dalam keluarga Channa berdasarkan corak berbunga pada badannya.

Toman bunga yang turut mempunyai persamaan dengan ikan haruan merupakan spesies ikan berkepala ular atau tergolong dalam keluarga snakehead.