Ke mana kita nak kelek sijil?

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

SUDAH lebih setengah tahun 2021 berlalu. Hampir pasti kemelut Covid-19 akan berlegar hingga ke penghujung tahun. Dengan kemunculan varian ganas terkini Lambda yang kemungkinan terlepas ke negara kita (nauzubillah), kita tidak boleh menjangkakan tahun 2022 bakal disambut meninggalkan Covid-19 jauh-jauh dalam lipatan sejarah.

Namun, jika kita berpegang kepada prinsip alam bahawa tiada apa yang kekal di dunia ini dan dengan meyakini bahawa ALLAH SWT sahaja Yang Baqa, maka kita menaruh harapan pandemik akan beransur pergi. Apakah tempo kehidupan akan rancak kembali atau mungkin ada cabaran lebih getir bakal kita depani?

Betapa pun, kita kena akui dan menerima hakikat bahawa kita sudah mengasimilasi norma baharu sebagai norma biasa. Dalam apa juga aspek kehidupan, kita sudah belajar untuk reset iaitu unlearn apa yang selama ini kita lakukan dan relearn cara baharu mengharungi kehidupan ini.

Antara bidang paling memberi kesan kepada keseluruhan kehidupan adalah pendidikan. Yang bersekolah kini mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Yang menuntut di institusi pengajian tinggi pula mengikuti pelajaran secara online. Pendek kata, kita kena belajar cara belajar!

Sudah hampir dua tahun pendidikan di sekolah dan institusi pengajian tinggi kita lalui dengan medium skrin komputer. Bagaimanapun, mereka yang telah melepasi zaman pendidikan formal turut berasa kurang selesa dengan penyampaian pelajaran dengan cara tersebut.

Mereka yang old-school masih memikirkan bagaimanakah masa depan generasi akan datang apabila pembelajaran dihadapi dengan cara begini. Sehinggakan ramai memandang sinis apabila Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pencapaian Gred Purata Nasional calon Sijil Pelajaran Malaysia bagi tahun 2020 lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Rata-rata mereka lebih sangsi dengan cara Kementerian Pendidikan menetapkan kaedah penggredan. Mungkin kerana PdPR, pihak kementerian menurunkan gred pemarkahan. maknanya menurunkan standard. Padahal, tinggi atau rendah peratusan akademik sudah tidak penting lagi dalam keadaan sekarang. Sebab yang lebih perlu kita semua tumpukan adalah pembinaan kemahiran hidup.

Apakah dalam tempoh hampir dua tahun anak kita berada di rumah, kita sempat beri mereka pendidikan dan asuhan membina akhlak? Apakah kita memahamkan mereka betapa pentingnya berdisiplin, mematuhi peraturan dan mengutamakan kepentingan ramai berbanding kepentingan peribadi?

Artikel Berkaitan:

Atau apakah kita masih risau kerja rumah mereka yang tidak siap, bimbang bagaimana peperiksaan yang akan dihadapi dan betapa nanti jika keputusannya tiada ‘A’ lagi?

Pentingkah deretan ‘A’ jika kita duduk dan merenung apa akan jadi pada masa depan anak-anak kalau masih berfikiran ‘belajar rajin-rajin nanti lulus periksa?’ Bukankah agama mengamanahkan ibu bapa mendidik anak? Sudah lama ibu bapa terlupa amanah yang akan dipersoal Al-Hakim nanti.

Akan adakah kerja baik lagi jika kita masih mempunyai imej bahawa pekerjaan di bilik berhawa dingin, di bangunan pencakar langit, berpakaian sut dan tali leher itu kerjaya bagus? Akan adakah nanti kehidupan jet set terbang ke sana ke mari, melancong ke sana-sini sebagai imej kejayaan?

Semua itu entah ada, entahkan tidak. Kehidupan dalam dunia yang bermewah penuh glamor tidak keterlaluan jika dikatakan sedang beransur-ansur menjauh. Kita akan berdepan dengan hari-hari sukar. Jika anak-anak dapat survive dalam kehidupan, syukurilah.

Maaf cakap, universiti yang benar-benar akan mengajar mereka ialah Universiti Kehidupan. Jika pun mahu belajar tinggi-tinggi, ia kerana penghormatan dan cinta kita kepada ilmu itu sendiri. Dunia ilmu akan kembali disanjung secara tulen dan luhur. Kelulusan akademik tidak akan lagi menjadi penentu mutlak kejayaan masa depan.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian