X

Kindly register in order to view this article
!

Perak FC kongsi mata di Ipoh

Aksi pemain Perak FC menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Perak, di sini pada Selasa. FOTO PERAK FC
A
A

SELEPAS dibelasah Terengganu FC minggu lalu, Perak FC tampil dengan aksi berbeza bagi mengikat Kuala Lumpur City FC tanpa jaringan dalam perlawanan Liga Super 2021 di Stadium Perak, di sini pada Selasa.

Biarpun tanpa kelibat Careca dan Leandro dos Santos yang meninggalkan pasukan, Perak FC tetap bertenaga dengan menguasai minit awal perlawanan mengucar-kacirkan pertahanan Kuala Lumpur City FC.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur City FC terlebih dahulu menguji gawang Perak pada minit keempat melalui percubaan pemain penyerang mereka, Zhafri Yahya namun berjaya dinafikan Muhammad Azri Ab Ghani.

Perak FC kemudiannya tampil dengan beberapa percubaan antaranya melalui penyerang mereka, Mohamad Izzuddin Roslan namun tidak berjaya menerjah jaring lawan.

Pasukan tuan rumah membuat rombakan barisan pemain pada perlawanan kali ini dengan memberi kepercayaan kepada pemain muda mereka apabila penjaga gol, Muhammad Azri diberi kepercayaan menjaga gawang.

Begitu juga dengan Muhammad Danish Haziq, Muhammad Adib Abdul Ra'op dan Mohamad Izzuddin Mohd Roslan yang disenarai dalam kesebelasan utama pasukan Perak FC.

Sementara itu, Amirul Azhan Aznan menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan.

Dua pemain masing-masing dari Kuala Lumpur City FC iaitu Muhammad Irfan Zakaria dan Nana Poku dari Perak FC.

Tamat separuh masa pertama, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Stadium Perak, di sini.

Bersambung babak kedua, Kuala Lumpur City FC membuat pertukaran pemain pertama dengan membawa masuk Amirul Aiman Ibrahim menggantikan Muhamad Farid.

Kuala Lumpur City FC melakukan serangan awal sekali lagi menerusi Zhafri Yahya yang merembat dari luar kotak penalti terus ke dakapan Muhammad Azri pada minit ke-46.

Selang tiga minit kemudian, penjaga gol Perak FC terus cemerlang menyelamatkan keadaan menerusi percubaan pemain lawan, Muhammad Hadin Azman diikuti sepakan percuma terus ke gawang tuan rumah oleh kapten Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue.

Pasukan Perak FC kemudiannya mengatur gerak ke kubu lawan memberikan tekanan namun dua sepakan penjuru yang diperoleh berturut-turut tidak membawa sebarang hasil.

Penyerang Perak FC, Nana Poku dilihat sukar untuk melepasi pertahanan lawan apabila pergerakan sentiasa dipatahkan pemain Kuala Lumpur City FC.

Peluang terbaik Perak FC diperoleh pada minit ke-62 menerusi sepakan penjuru yang disambut Charles Machel namun mudah ditangkap penjaga gol lawan, Kevin Ray Mendoza.

Kelibat J Partiban dan Kenny Pallraj yang kembali ke Ipoh selepas meninggalkan Perak FC menyertai Kuala Lumpur City FC juga dilihat masih gagal memecah kebuntuan untuk pasukan lawan mendapat kelebihan.

Perak FC membuat pertukaran pertama pada minit ke-76 dengan memasukkan Muhammad Syahir Bashah menggantikan Sergio Aguero.

Serangan demi serangan oleh kedua-dua pasukan dalam tempoh 10 minit terakhir perlawanan terus buntu mencipta jaringan.

Tamat perlawanan Perak FC terpaksa berpuas hati berkongsi mata dengan Kuala Lumpur City FC di Stadium Perak dalam aksi tunggal Liga Super 2021 pada Selasa.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!