Pembangkang jangan ghairah desak kerajaan guna Ivermectin

Shahril Sufian Hamdan
Shahril Sufian Hamdan
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mendesak Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba agar mengenepikan prosedur Badan Regulatori Farmasi Kebangsaan (NPRA) bagi membolehkan ubat Ivermectin digunakan untuk merawat Covid-19 disifatkan sebagai perilaku tidak bertanggungjawab.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, di sebalik keghairahan ahli Parlimen PH menyerang kerajaan, kepentingan mematuhi prosedur berdasarkan sains dan data juga sangat mendesak bagi mengelakkan mudarat kepada pengguna ubat berkenaan dalam jangka panjang.

Jelas beliau, terdapat implikasi besar apabila ahli Parlimen yang bukan doktor, pakar dalam bidang kesihatan tetapi berpengaruh di mata rakyat bertindak secara tidak rasional sebegini.

"Mereka sanggup mendesak Menteri Kesihatan menggunakan 'kuasa eksekutif' untuk mengetepikan prosedur perubatan yang dibina bagi memelihara keselamatan rakyat.

"Dalam erti kata lain, mereka juga seolah-olah menolak sistem dan prosedur kelulusan, menolak peranan penjawat awam dan pakar perubatan yang tidak terikat pun dengan mana-mana parti politik.

"Sekalipun seronok menghentam (Menteri Kesihatan) di Parlimen, tidak semua yang nampak bulat itu mesti ditendang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu yang menggesa kerajaan mengetepikan prosedur NPRA bagi membolehkan ubat Ivermectin diguna pakai segera KKM bagi merawat pesakit Covid-19 di Malaysia.

Gesaan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu turut disokong sebilangan besar ahli Parlimen pembangkang pada sesi persidangan Dewan Rakyat pada petang Selasa, bahkan ada berpandangan Menteri Kesihatan perlu menggunakan kuasa eksekutif beliau bagi tujuan itu.

Artikel Berkaitan:

Tambah Shahril Sufian, sesiapa pun yang menjadi kerajaan, pentadbir sistem perubatan Malaysia tidak boleh membuat keputusan mengikut teori dan andaian atau populariti hasil desakan ahli politik.

Sebaliknya, beliau menegaskan kerajaan mesti buat keputusan dan kelulusan mengikut prosedur, data dan sains.

"Ini bukan bab SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN), pakej ekonomi dan lain-lain isu yang lebih terbuka untuk dipertikai. Ini soal ubat yang hendak diluluskan untuk digunakan ke atas rakyat.

"Diakui, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tidak terikut rentak ahli Parlimen pembangkang yang lain tadi.

"Diharapkan beliau boleh main peranan mendidik rakan-rakannya dalam PH untuk sama-sama bertanggungjawab," katanya.