X

Kindly register in order to view this article
!

Empat lagi kluster baharu libatkan tempat kerja, komuniti di Sabah

Petugas kesihatan membuat saringan ujian Covid-19- Gambar hiasan
A
A

KOTA KINABALU - Sabah merekodkan empat lagi kluster baharu Covid-19, dengan tiga daripadanya melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja manakala satu jangkitan komuniti, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan Sabah berkaitan Covid-19 berkata, kesemua kluster baharu terbabit menyumbang kepada sebahagian daripada 741 kes harian, direkodkan di negeri itu pada Selasa.

Masidi berkata, kluster baharu melibatkan tempat kerja ialah Kluster Jalan Penampang di Penampang dengan 29 kes; Kluster Jeti Kudat di Kudat (44 kes) dan Kluster Industri Kolombong membabitkan Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran (23 kes); manakala kluster komuniti di Tawau iaitu Kluster Inderasabah (14 kes).

“Aktiviti pengesanan kontak rapat keempat-empat kluster baharu itu sedang dijalankan dan punca jangkitan juga masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Secara keseluruhannya Masidi berkata, Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang meningkat pada Selasa dengan 379 kes daripada saringan kontak rapat; diikuti saringan kluster (142 kes); saringan bergejala (129 kes); saringan bersasar (53 kes); dan lain-lain 38 kes.

“Dengan ini dapat disimpulkan bahawa, masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard yang digariskan, sungguh pun pelbagai saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!