CAP gesa kerajaan benar guna Ivermectin tangani Covid-19

Banyak kajian yang didokumentasikan dengan baik menunjukkan penggunaan Ivermectin mengurangkan risiko mendapat Covid-19 sehingga lebih 90 peratus dan kematian sehingga 68 sehingga 91 peratus.
Banyak kajian yang didokumentasikan dengan baik menunjukkan penggunaan Ivermectin mengurangkan risiko mendapat Covid-19 sehingga lebih 90 peratus dan kematian sehingga 68 sehingga 91 peratus.
A
A
A

GEORGETOWN- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong gesaan Gabungan Malaysia bagi Kawalan Covid Berkesan (MAECC) bagi membenarkan Ivermectin digunakan di bawah Kebenaran Penggunaan Kecemasan (EUA) bersama dengan program vaksinasi semasa.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kerajaan seharusnya memberi maklum balas positif terhadap gesaan itu kerana ia adalah untuk menyelamatkan nyawa.

Menurutnya, jika gesaan itu diterima pakai, Malaysia akan menjadi antara 32 negara di seluruh dunia yang menggunakan ubat ini dalam program rawatan dan pencegahan Covid-19 yang berjaya.

"Ivermectin berisiko rendah, dengan kos yang rendah dan ubatan yang sudah mapan serta sedia didapati.

"Ia telah digunakan selama berdekad walaupun untuk indikasi yang berbeza," katanya menerusi kenyataan di sini pada Selasa.

Mohideen berkata, bekas Pengarah Pusat Racun Negara Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak menunjukkan bahawa pendukung penggunaan Ivermectin berhujah bahawa ia mewakili alternatif penting bagi rawatan Covid-19.

Beliau menambah, negara miskin kebanyakannya ketinggalan dalam pengeluaran vaksin Covid-19 global memandangkan prosesnya didominasi oleh apa yang diistilahkan sebagai vaksin nasionalisme dan 'apartheid'.

"Kisah kejayaan penggunaan Ivermectin untuk merawat kes Covid-19 amat mengagumkan walaupun pada faktanya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak menyarankan penggunaannya untuk rawatan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Pada April 2020, India mempunyai rekod jangkitan harian tertinggi dunia iaitu 360,960 kes dan sebulan pemberian Ivermectin besar-besaran di kebanyakan bandar dan negeri yang terjejas, kadar jangkitan menurun kepada bawah 7,000 kes harian," katanya.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, banyak kajian yang didokumentasikan dengan baik menunjukkan penggunaan Ivermectin mengurangkan risiko mendapat Covid-19 sehingga lebih 90 peratus dan kematian sehingga 68 sehingga 91 peratus.

Beliau berkata, memandangkan jumlah bilangan kes di Malaysia mencapai 1,027,954 dan juga dengan bilangan kematian tertinggi sehari iaitu 207 pada 26 Julai, pihaknya menggesa kerajaan supaya membenarkan penggunaan Ivermectin sebagai rawatan Covid-19 memandangkan statistiknya semakin meningkat.

"Pada saat genting pandemik ini, kerajaan seharusnya dengan serius menggunakan Ivermectin bagi rawatan Covid-19 bersama dengan program vaksinasi yang baru berjaya menyediakan 36.13 peratus daripada jumlah penduduk dengan dos pertama dan 16.90 peratus dengan dos kedua.

"Berdasarkan kepada kemajuan dalam pemberian vaksinasi yang perlahan kepada penduduk dan kelewatan dalam hasil ujian Ivermectin yang hanya bermula pada Jun 2021, kita tidak boleh menunggu lagi lama apabila berdepan dengan gelombang jangkitan varian yang lebih tinggi," katanya.