Shopee Malaysia: Tak tolak ansur aktiviti penipuan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat e-dagang popular, Shopee Malaysia tidak bertolak ansur dengan aktiviti penipuan dilakukan peniaga dalam platform jual beli atas talian itu selepas seorang pereka grafik ditipu ketika proses pembelian sebuah televisyen pintar.

Shopee dalam kenyataan medianya juga menegaskan telah menetapkan dasar Jaminan Shopee untuk melindungi kepentingan pembeli.

“Shopee memandang berat perkara ini dan tidak akan bertolak-ansur terhadap sebarang aktiviti penipuan di platform kami. Akaun penipu ini telah diharamkan secara kekal. Malah, akaun penipu tersebut telah ditutup dalam masa 24 jam.

“Shopee telah menetapkan dasar Jaminan Shopee untuk melindungi kepentingan pembeli kami dan memastikan transaksi dilaksanakan dengan selamat di platform kami,” kata kenyataan itu hari ini.

Shopee juga menubuhkan pasukan antipenipuan khas yang melakukan pencarian harian untuk mengesan aktiviti mencurigakan dan penyenaraian produk atau akaun yang disyaki.

“Shopee ingin menegaskan bahawa kes ini nyata memperlihatkan hak dan kuasa pengguna. Pembeli memainkan peranan penting untuk membentuk ekosistem e-dagang dengan meninggalkan maklum balas terperinci tentang pembelian dalam talian mereka.

“Maklum balas ini akan membantu pembeli lain apabila membuat pembelian mereka. Pembeli seharusnya menyemak penarafan dan penilaian sesuatu gedung daripada pengguna lain untuk menentukan kebolehpercayaan penjual sebelum membuat pembelian di dalam talian,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, Faiz Zarizi, 32, ditipu peniaga dalam platform berkenaan selepas membeli sebuah televisyen pintar bersaiz 65 inci berharga, RM1,499.17 iaitu separuh daripada harga pasaran.

Artikel Berkaitan:

Faiz bagaimanapun menyedari ditipu selepas penjual berkenaan meminta nombor pengesahan tempahan melalui permulan telefon.

Shopee berkata, menerusi Jaminan Shopee, pembayaran kepada penjual ditahan sehingga pembeli mengesahkan bahawa mereka telah menerima pesanan sewajarnya dan dalam keadaan baik.

Katanya, dalam senario ini, jika pembeli tidak membatalkan pesanan tersebut atau menerima produk yang dibeli, pembeli tetap akan menerima wang kembali kerana dilindungi oleh Jaminan Shopee.

“Oleh sebab itu, pembeli hendaklah menyempurnakan transaksi menerusi platform Shopee. Dengan ini juga ditekankan bahawa penjual sah Shopee tidak akan menerima OTP (kata laluan sekali) daripada pembeli,” katanya.

Shopee juga mengambil satu lagi langkah untuk membantu pengguna mengenal pasti penjual bereputasi tinggi dengan memilih Shopee Preferred Sellers (Peniaga Pilihan Shopee).

“Status ini diberikan hanya kepada penjual aktif dengan penarafan gedung yang tinggi, yang telah menyempurnakan sejumlah besar transaksi Shopee, dan yang menyediakan perkhidmatan pelanggan yang baik,” katanya.

Daalm pada itu, Shopee turut berterima kasih kepada Faiz kerana usahanya membongkar kegiatan penipuan yang dilakukan oleh peniaga demi manfaat dan keselamatan pembelian semua pengguna.

“Kami telah pun menghubungi pengguna tersebut dalam usaha kami terus melibatkan semua pengguna untuk menyediakan pengalaman beli-belah terulung di platform kami,” katanya.