'Ibu pesan pergi ke rumah anak yatim sebelum meninggal dunia'

Dalam tempoh 24 jam, Thailand mencatat 14,150 kes baharu Covid-19 dan 118 kematian.
Dalam tempoh 24 jam, Thailand mencatat 14,150 kes baharu Covid-19 dan 118 kematian.
A
A
A

BANGKOK - Seorang ibu tunggal di Thailand yang dijangkiti Covid-19, sempat berpesan kepada dua anak perempuannya berusia tujuh dan sembilan tahun, supaya pergi ke rumah anak yatim, sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada Isnin.

Pemeriksaan awal menggunakan kit ujian pantas Covid-19 mendapati ibu berusia 43 tahun itu, seorang tukang urut, positif Covid-19, dua anaknya juga turut dijangkiti.

Media tempatan melaporkan wanita tersebut mengalami gejala termasuk sakit dada, sukar bernafas dan batuk kira-kira tiga hari dan meninggal dunia di rumah ketika menunggu bantuan.

Sehari sebelum, seorang jiran membawanya ke hospital dan pulang semula pada hari yang sama. Wanita itu tidak dimasukkan ke wad, kemungkinan disebabkan terlalu banyak kes Covid-19 di hospital.

Rakaman video yang menunjukkan dua anak perempuannya sayu menyaksikan jenazah ibu mereka dibawa dengan tandu oleh sukarelawan, di daerah Bang Phli di Samut Prakan, Thailand, tular di media sosial dengan lebih 800,000 tontonan setakat ini.

Dua beradik itu sedang dirawat di hospital.

Kisah ibu tunggal di Samut Prakhan itu dan mayat empat lelaki gelandangan yang dijumpai di tepi jalan di Bangkok minggu lalu menunjukkan betapa jangkitan Covid-19 telah kian mencengkam negara ini.

Jumaat lalu Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha menyatakan kebimbangannya dengan laporan mengenai mereka yang meninggal dunia di tepi jalan dan di rumah ketika menunggu bantuan perubatan.

Artikel Berkaitan:

Dalam tempoh 24 jam, Thailand mencatat 14,150 kes baharu Covid-19 dan 118 kematian, dengan jumlah jangkitan keseluruhan kepada 526,828 dan 4,264 kematian setakat ini.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) menyatakan sejumlah 171,921 pesakit masih dirawat di hospital dengan 4,284 dalam keadaan kritikal dan 954 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Menurut CCSA kematian melibatkan 64 lelaki dan 54 wanita berusia antara 25 hingga 96 tahun termasuk 115 warga tempatan dan seorang warga Myanmar, Kemboja dan India. -Bernama