Mayat lelaki pakai gelang putih negatif Covid-19

Mayat lelaki memakai gelang putih ditemukan terapung di Sungai Terengganu pada Isnin. Foto: Ihsan Bomba
Mayat lelaki memakai gelang putih ditemukan terapung di Sungai Terengganu pada Isnin. Foto: Ihsan Bomba
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mayat lelaki memakai gelang putih yang ditemukan terapung di Sungai Terengganu dekat Kampung Banggol Cempedak di sini pada Isnin disahkan negatif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, lelaki berusia 36 tahun yang berasal dari Batu Hampar, Manir itu sepatutnya memotong gelang kuarantin itu pada 18 Julai lalu.

Bagaimanapun katanya, lelaki berkenaan dikatakan gagal dihubungi oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Terengganu bagi proses pemotongan gelang putih.

Beliau berkata, identiti lelaki terbabit telah disahkan oleh kakak mangsa berdasarkan pengecaman fizikal di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Selasa.

"Sebelum ini waris mangsa tampil di Balai Polis Chabang Tiga untuk membuat laporan kehilangan mangsa sebaik mendapat maklumat berhubung penemuan mayat yang ditularkan di media sosial.

"Kakak mangsa memberitahu, mangsa gagal dihubungi dan kali terakhir berhubung melalui panggilan telefon pada Jumaat lalu.

"Hasil bedah siasat Unit Forensik HSNZ mendapati tiada unsur jenayah terhadap mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Mayat mangsa telah dituntut ahli keluarga pada jam 3 petang," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada Selasa.

Mayat lelaki berkenaan ditemukan terapung di sungai Terengganu pada Isnin dan dibawa ke daratan oleh pasukan bomba.

Artikel Berkaitan:

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terenggan, Timbalan Penguasa Bomba, Rozizah Abni Hajar berkata, pihak bomba menerima panggilan daripada polis berhubung penemuan mayat itu pada jam 2.37 petang.