Hishammuddin tekad jalan tugas baharu dengan baik

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein - Foto Bernama
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR -- Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, melahirkan komitmen untuk menggalas tugas baharunya yang bermula hari ini dengan sebaiknya.

Beliau dalam kenyataan pertama mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini, menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang melaksanakan tugasan tersebut sejak 20 Mac 2020 sehingga semalam (26 Julai).

“Insya-ALLAH, saya akan teruskan tugasan ini dengan sebaiknya,” katanya.

Menurut Hishammuddin, mulai hari ini sidang media mahupun kenyataan media harian berkaitan pasukan petugas operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP), dan penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta 342 di seluruh negara bagi mengawal penularan wabak Covid-19, akan diselaras dan dikeluarkan oleh pihak beliau untuk satu tempoh berikutnya.

“Selaku Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), saya akan menerima serta memaklumkan laporan mengenai pematuhan SOP, kawalan sempadan negara serta perkara-perkara lain daripada setiap agensi yang terlibat, katanya.

Beliau berkata, pengumuman berkenaan adalah penting bagi memberi penjelasan kepada rakyat, mengenai situasi semasa keselamatan khususnya dalam tempoh pelaksanaan PPN ketika ini.

Semalam, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan Pertahanan, mengumumkan Hishammuddin akan mengambil alih pengumuman mengenai perkembangan harian aktiviti penguatkuasaan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mulai hari ini.

Pada 7 Julai lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya, mengumumkan pelantikan Hishammuddin sebagai Menteri Kanan yang mengetuai Kluster Keselamatan, dan mengekalkan portfolio beliau sebagai Menteri Luar.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan yang sama turut mengumumkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan. -Bernama