X

Kindly register in order to view this article
!

Seoul-Pyongyang berbaik semula

Jong-un (kiri) dan Jae-in ketika bertemu di perkampungan sempadan Panmunjom di Zon Bebas Tentera pada April 2018. - Foto: Agensi
A
A

SEOUL - Korea Selatan dan Pyongyang akhirnya kembali memulihkan hubungan antara kedua-dua negara selepas mengumumkan talian hotline atau komunikasi rentas sempadan dipulihkan pada Selasa.

Pengumuman bersama itu dibuat bertepatan dengan ulang tahun ke-68 yang menandakan berakhirnya Perang Korea 1950-53 sekali gus menjadi perkembangan positif pertama sejak siri sidang kemuncak antara Presiden Moon Jae-in dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada 2018 gagal untuk mencapai sebarang kesepakatan.

KCNA melaporkan kesemua saluran komunikasi antara Korea kembali beroperasi pada jam 10 pagi (waktu tempatan).

“Kedua-dua pemimpin sepakat membuat langkah besar untuk memulihkan kepercayaan bersama dan mempromosikan perdamaian dengan memulihkan talian hotline antara Seoul dan Pyongyang,” lapor agensi berita itu lagi.

Jae-in dan Jong-un juga dilaporkan saling menghantar surat sejak April lalu.

Pada Jun 2020, Korea Utara bertindak memutuskan saluran komunikasi politik dan tentera rasmi sebagai respons terhadap tindakan kumpulan aktivis Korea Selatan yang menghantar risalah anti-Pyongyang di sepanjang sempadan hingga mengeruhkan hubungan di Semenanjung Korea.

Beberapa hari selepas memutuskan talian hotline itu, Pyongyang turut meletupkan pejabat perhubungan antara Korea di sebelah sempadannya dan mengancam untuk meningkatkan kehadiran pasukan keselamatan di Zon Bebas Tentera.

Sejak Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengambil alih Rumah Putih, Pyongyang dan Washington menggunakan pendekatan ‘tunggu dan lihat’ setelah hubungan dengan pentadbiran pendahulunya, Donald Trump gagal mencapai perjanjian walaupun telah mengadakan tiga sidang kemuncak.

Pada bulan lalu, diplomat AS yang bertanggungjawab dalam rundingan Korea Utara, Sung Kim mengesahkan Washington bersedia untuk bertemu dengan Pyongyang pada bila-bila masa tanpa prasyarat.

Bagaimanapun, Kim Yo-jong yang merupakan adik dan penasihat utama kepada Jong-un menolak bulat-bulat tawaran itu. - AFP


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!