MPSJ kenal pasti 36 lokasi 'panas' denggi

A
A

SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MPSJ) mengenal pasti sebanyak 36 lokasi 'panas' denggi di mana empat daripada lokaliti mencapai tempoh melebihi 100 hari.

Difahamkan, empat lokaliti terlibat adalah Lestari Putra 4, Lestari Putra 6, Batu 13 Kampung Tengah dan USJ 9/3P, Subang Jaya.

Timbalan Yang Dipertua (YDP) MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, berdasarkan rekod, pihaknya turut mengenal pasti sebanyak 1,857 kes denggi disahkan positif bagi tempoh masa sama di seluruh kawasan pentadbiran majlis.

"MPSJ melihat kes-kes ini berada pada tahap membimbangkan sebab denggi boleh membunuh.

"Bagi mengatasi permasalahan ini, Majlis sedang menggiatkan usaha serta langkah-langkah pencegahan bagi memastikan penularan wabak demam denggi dapat dikawal," katanya ketika Mesyuarat Penuh MPSJ Bil 2/2019 hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkurnain berkata MPSJ melalui Jabatan Kesihatan telah mengambil tindakan kawalan dengan mengadakan aktiviti seperti pemeriksaan tempat pembiakan, larvaciding, semburan Ultra Low Volume (ULV) dan semburan ruang thermal (SRT) bago membanteras permasalahan tersebut.

Beliau berkata, MPSJ turut menyebarkan maklumat mengenai wabak denggi melalui risalah dan laman web rasmi majlis,menggantung sepanduk serta mengadakan taklimat secara berterusan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung penularan wabak ini.

"MPSJ juga giat mengadakan perbincangan serta operasi bersama Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dalam usaha bagi membanteras permasalahan tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Zulkurnain berkata penglibatan masyarakat awam amat diperlukan bagi memastikan tindakan kawalan yang dilaksanakan mencapai objektif dikehendaki.

Tambah beliau, pihaknya juga akan menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan tempat pembiakan nyamuk aedes dapat dihapuskan dan tindakan dapat diambil di bawah Akta 154, Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit 1975 kepada pihak yang bersalah.

"Mengikut akta ini, pesalah boleh dikompaun sebanyak RM500 jika membiakkan nyamuk aedes, denda mahkamah RM10,000 atau penjara dua tahun, atau denda mahkamah RM50,000 atau penjara lima tahun," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia