Nor Afiqah hilang dengan berbaju tidur

NOR AFIQAH
NOR AFIQAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengusaha makanan, Nor Afiqah Mohd Khiruddin, 25, dilaporkan hilang dari kediaman keluarganya di Bandar Tun Razak sejak Sabtu lalu.

Abangnya, Mohd Hafizuddin Mohd Khairuddin, 28, berkata, kehilangan Nor Afiqah menimbulkan tanda tanya kerana keluar sehelai sepinggang tanpa membawa kad pengenalan, dompet serta telefon bimbit malah kereta Perodua Kancil milik adiknya itu juga masih berada di rumah.

Menurutnya, kehilangan anak kedua daripada lima beradik itu disedari sekitar jam 10 pagi selepas didapati Nor Afiqah tiada di biliknya.

"Dia bukan anak bermasalah cuma malam sebelum kejadian dia banyak termenung namun apabila ditanya dia memaklumkan tidak bersedia berkongsi mengenainya.

"Besar kemungkinan dia hilang ketika Subuh dengan berpakaian tidur dan tidak bertudung. Kali terakhir kami berjumpanya sekitar jam 10 malam. Kami sudah cuba menjejakinya melalui rakan-rakan namun tiada yang mempunyai maklumat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Katanya, Nor Afiqah merupakan seorang adik yang baik dan banyak menghabiskan masa di rumah menyiapkan tempahan pelanggan.

"Jika dia keluar pun akan ditemani oleh adik-adik lain. Kebanyakan rakannya juga berada di Perak kerana kami berasal dari sana dan mula menetap di Kuala Lumpur sejak lima tahun lalu.

"Ibu bapa juga di Perak namun datang ke Kuala Lumpur sebaik sahaja mengetahui adik hilang. Saya harap Nor Afiqah ditemui dalam keadaan selamat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, laporan polis telah dibuat dan orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubunginya di talian 017-569 4982.