X

Kindly register in order to view this article
!

Polis rampas heroin base bernilai RM195,000

Kamarul Zaman (kanan) menunjukkan dadah jenis heroin base yang dirampas dari sebuah bengkel di Pendang, disaksikan oleh Mohd Roze (kiri).
A
A

ALOR SETAR - Polis merampas 2,253 gram dadah jenis heroin base dianggarkan bernilai RM195,000 di sebuah bengkel di Kampung Lubok Rambutan, mukim Padang Pusing, Pendang pada Sabtu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sekitar jam 7 petang itu turut berjaya menahan empat lelaki tempatan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam bilik bengkel tersebut, polis menemui satu bungkusan plastik lut sinar di atas meja, yang di dalamnya terdapat tiga bungkus plastik lut sinar mengandungi enam ketulan mampat berisi dadah jenis heroin base.

“Susulan rampasan itu, serbuan kedua dilakukan pada 5.10 pagi Ahad dan berjaya menahan seorang lelaki di tepi Pantai Bersih, Bagan Ajam di Butterworth, Pulau Pinang.

"Suspek ditangkap kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang sama,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Selasa.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari.

Kamarul Zaman berkata, hasil siasatan membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki tempatan yang kesemuanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Kesemua suspek berusia antara 36 hingga 49 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine. Seorang daripada suspek merupakan mekanik lori dan nelayan manakala dua lagi penganggur.

"Keempat-empat suspek berasal dari Pendang, Jitra, Langkawi dan Sungai Petani,” katanya.

Menurutnya, polis turut menyita sebuah kereta jenis BMW 525(i) bernilai RM20,000 dan sebuah Nissan Sentra bernilai RM20,000, selain wang tunai sebanyak RM1,708.

“Nilai keseluruhan sitaan harta bernilai RM41,708. Kesemua suspek direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kamarul Zaman berkata, polis Kedah berjaya merampas lebih RM3 juta dadah pelbagai jenis dalam tempoh 1 Januari hingga 25 Julai tahun ini.

“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 35,400 gram syabu dirampas dengan nilai RM1.45 juta, heroin sebanyak 48,400 gram bernilai RM533,864, diikuti 278,519 gram ganja dengan nilai rampasan RM700,194 serta daun ketum bernilai RM384,410,” katanya.

Menurutnya, ia membabitkan penahanan 1,988 pengedar dadah dan 5,497 penagih dadah.

“Seramai 161 individu telah dituduh di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, modus operandi pengedaran dadah di negeri ini masih menggunakan taktik sama, iaitu secara bersemuka dan edaran secara individu.

“Penagih akan cari ruang untuk dapatkan bekalan melalui pelbagai taktik walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Di Kedah, taktiknya masih sama iaitu bersemuka atau pengedar tinggalkan dadah di tempat tertentu untuk diambil penagih.

"Setakat ini, kita belum lagi mengesan adanya kes menggunakan khidmat kurier untuk modus operandi pengedaran dadah,” katanya.

Kamarul Zaman turut meminta kerjasama serta penglibatan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka kepada polis.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!