X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Spiderman, Captain Marvel pun ambil vaksin

Pasangan suami isteri memakai kostum karekter adiwira Spiderman dan Captain Marvel merakamkan gambar mereka ketika di PPV IPT UMS, Kota Kinabalu.
A
A

KOTA KINABALU - Pasangan suami isteri yang memakai kostum adiwira Spiderman dan Captain Marvel menarik perhatian orang ramai yang hadir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi (IPT) Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini petang Selasa.

Kehadiran kedua-dua individu itu kira-kira jam 2 petang di PPV itu menyebabkan ada penerima vaksin lain turut mengambil peluang mengambil gambar bersama mereka.

Hasryman Osman, 40-an, yang memakai kostum Adiwira Spiderman berkata, dia memakai kostum itu sebagai cara untuk menggalakkan lebih ramai tampil menerima vaksin.

"Semua orang tahu sebagai adiwira biasanya kuat dan kebal namun ia tidak menjamin kita selamat daripada penularan Covid-19.

"Saya dan isteri datang dan memberi sokongan serta menggalakkan orang ramai mendapatkan vaksin Covid-19 untuk membantu menghindari jangkitan virus Covid-19," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Katanya lagi, dia gembira kerana mendapat giliran untuk suntikan pertama vaksin berkenaan dan tidak sabar menerima suntikan bagi dos kedua.

5
5

Menurut adiwira Captain Marvel, Siti Fatimah Kamaruddin, 30-an, kehadirannya di PPV itu bagi memberi sokongan kepada suaminya.

Siti Fatimah berkata, suaminya seorang yang takut jarum suntikan namun bersyukur kerana proses itu berjalan lancar.

"Kita berharap selepas ini lebih ramai rakyat Sabah menerima suntikan vaksin dan seterusnya dapat hidup dalam norma kehidupan biasa seperti sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, pengarah Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), Profesor Dr Helen Benedict Lasimbang ketika ditemui berkata, setiap hari sebanyak 3,000 vaksin disediakan.

"Jumlah janji temu melalui MySejahtera ialah seramai 2,700 tetapi daripada jumlah itu hanya 70 peratus yang datang untuk menerima vaksin.

"Saya harap mereka yang menerima tarikh janji temu boleh datang kerana kami sudah bersedia," katanya.

Mengulas mengenai kehadiran dua individu berpakaian kostum adiwira itu, Helen berkata, ia idea yang bagus untuk memberi semangat supaya lebih ramai datang menerima vaksin.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!