Kebenaran penggunaan Ivermectin diketahui September

Keputusan sama ada Malaysia akan membenarkan penggunaan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 akan diketahui pada September nanti.
Keputusan sama ada Malaysia akan membenarkan penggunaan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 akan diketahui pada September nanti.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada Malaysia akan membenarkan penggunaan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 akan diketahui selepas keputusan kajian berhubung penggunaan ubat itu diperoleh pada September nanti.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba berkata, setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi kelulusan khas penggunaan ubat ini secara 'off label'.

Penggunaan secara 'off label' itu merujuk kepada penggunaan ubat di luar tertera dalam label dan belum atau di luar persetujuan badan atau lembaga bertanggungjawab.

Katanya, kebenaran itu diberikan dalam kajian klinikal bagi rawatan pesakit Covid-19 untuk menentukan keberkesanan dan keselamatan ubat tersebut.

"Kajian tersebut dikenali sebagai Ivermectin Treatment Efficacy in Covid-19 High Risk Patients (I-TECH). Ia telah diluluskan oleh Jawatankuasa Penyelidikan dan Etika Penyekidikan Perubatan (MREC).

"Kajian ini kini sedang dijalankan di 18 buah hospital seluruh negara. Seramai 500 pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi dan bergejala ringan pada peringkat awal akan terlibat," katanya pada sesi penggulungan perbahasan di sidang khas Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) mengenai penggunaan ubat Ivermectin berkenaan.

Adham berkata, setakat ini juga kira-kira 200 pesakit Covid-19 telah menyertai kajian tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Keputusan kajian ini dijangka diperoleh pada September tahun ini," katanya.

Menjawab soalan tambahan dikemukakan Sivarasa Rasiah (PH-Sungai Buloh) yang meminta kerajaan membenarkan ubat itu diguna oleh klinik swasta sebagai yang dilakukan Indonesia dan Filipina, Adham menegaskan, keputusan berhubung perkara itu hanya boleh dibuat selepas keputusan kajian diperoleh tambahan lagi India turut menarik balik penggunaan ubat itu.

"Boleh tunggu tak untuk kajian klinikal secara random di hospital? Kalau berjaya, boleh guna.

"Berilah kita peluang untuk buat kajian kerana indikasi sebenar ubat ini ialah sebagai anti-hemint (ubat untuk cacing parasit)," katanya.

Justeru katanya, kerajaan perlu melihat kesan sampingan yang berlaku selepas pengambilan ubat itu untuk memastikannya benar-benar selamat digunakan.