X

Kindly register in order to view this article
!

MEDAC kemuka cadangan pertingkat SOP percepat pembukaan sektor PMKS

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) pada Selasa mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk mempertingkatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi membantu mempercepat pembukaan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) secara selamat, terutamanya bagi kategori pertama ditutup, terakhir dibuka (FCLO).

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, cadangan itu menumpukan kepada enam aktiviti ekonomi di bawah kategori FCLO iaitu makanan dan minuman (makan dalam premis F&B), pusat beli-belah, kedai jam, perkhidmatan perawatan kaki dan rias kuku, kedai solek/salun kecantikan dan kedai gunting rambut/salun rambut.

Hampir separuh daripada aktiviti perniagaan yang dikenal pasti ini dimiliki usahawan wanita iaitu antara golongan paling terjejas akibat kawalan pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara.

Wan Junaidi dalam kenyataan berkata, banyak pihak telah menyatakan kesanggupan untuk beroperasi di bawah SOP yang lebih ketat dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan pasukan penguatkuasaan.

“Malah, mereka (ahli industri) sangat proaktif dan bekerjasama dalam hal ini. Penambah baikan SOP yang disediakan MEDAC ini merupakan usaha sama antara kementerian dan kedua-dua pihak,” katanya.

Cadangan SOP yang dipertingkatkan itu diserahkan oleh Wan Junaidi kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

SOP berkenaan merangkumi garis panduan untuk mengendalikan pelanggan, menguruskan kakitangan, waktu operasi, serta penyelenggaraan premis bagi memastikan semua pihak mematuhi syarat-syarat keselamatan pasca Covid-19.

Antara prosedur wajib yang dicadangkan adalah memastikan pemilik perniagaan dan pekerja telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19, ujian swab Covid-19 secara mingguan dan menutup premis dengan segera sekiranya kes Covid-19 dikesan bagi tujuan sanitasi.

Wan Junaidi berkata, sektor PMKS di Malaysia yang menyumbang hampir 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada di ambang kejatuhan sekiranya Kawalan Pergerakan di seluruh negara pada masa ini diteruskan dalam tempoh yang tidak dapat ditentukan.

Berdasarkan tinjauan MEDAC, dianggarkan kira-kira 580,000 perniagaan, mewakili 49 peratus daripada sektor PMKS berisiko gagal menjelang Oktober ini jika mereka tidak dibenarkan beroperasi pada masa itu.

“Penutupan perniagaan ini turut bermakna lebih tujuh juta rakyat Malaysia dijangka menganggur,” katanya, sambil menambah 14 juta orang lagi akan terjejas oleh situasi dengan andaian setiap pekerja mempunyai purata dua tanggungan.

MEDAC telah menjalankan tinjauan dari 15 Jun hingga 28 Jun 2021 terhadap usahawan untuk mengukur impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terhadap landskap keusahawanan di Malaysia.

Tinjauan itu mendapati hampir 60 peratus daripada 6,664 responden menghadapi sekurang-kurangnya satu daripada masalah kesihatan mental semasa Kawalan Pergerakan.

Tiga faktor utama yang menjejaskan kesihatan mental mereka termasuk kemerosotan dan kerugian pendapatan, isu hutang dan pembiayaan serta risiko penutupan perniagaan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!