MP Sabah cadang desentralisasi bagi hal urus tadbir kesihatan, SOP

Suasana di dalam Dewan Rakyat pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Keempat Belas di Parlimen. -Foto Bernama
Suasana di dalam Dewan Rakyat pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Keempat Belas di Parlimen. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Desentralisasi atau pengagihan kuasa kepada kerajaan negeri perlu dipraktikkan oleh kerajaan Persekutuan khususnya di Sabah bagi membolehkan urus tadbir kesihatan serta prosedur operasi standard (SOP) dapat disesuaikan dengan situasi semasa negeri dan daerah.

Perkara tersebut disuarakan oleh beberapa Ahli Parlimen dari Negeri di Bawah Bayu itu pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Selasa antaranya Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis), yang menyatakan ini berikutan keluasan negeri Sabah yang besar.

“Bukan (di) semua (bahagian) negeri itu boleh kita kuatkuasakan SOP seragam, mungkin di Kota Kinabalu lain, di Beaufort lain, di Kudat lain tetapi kita sekarang ini hanya sama rata.

“Jadi saya minta kerajaan pusat melalui Kementerian Kesihatan (KKM) ini praktikkanlah dasar desentralisasi ini kerana ini akan dapat memperlihatkan bagaimana kita dapat membantu kerajaan dan membantu rakyat yang sedang susah akibat Covid-19,” katanya.

Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) mencadangkan penubuhan pasukan petugas mengkaji isu desentralisasi supaya penurunan kuasa dapat diberikan bukan sahaja di peringkat kerajaan negeri malah kerajaan tempatan dalam banyak hal kesihatan dan pendidikan.

“Walaupun dalam Perlembagaan Persekutuan, hal berkaitan kesihatan dan perubatan ini memang hal Persekutuan tetapi dalam senarai bersama, hal-hal berkenaan kesihatan awam adalah senarai bersama di mana kerajaan negeri juga mempunyai peranan bukan sahaja membuat perundangan tetapi dalam hal urus tadbir,” katanya.

Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) pula membangkitkan isu kurangnya penglibatan aset kerajaan bagi menjaga pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Sabah.

“Kebanyakan PKRC di Sabah tidak seperti di Semenanjung, ketiadaan talian telekom di PKRC menyukarkan pengurusan organisasi malah ada PKRC terpaksa cari penaja untuk alat penapis air bagi kemudahan pesakit,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar setiap hospital atau Pejabat Kesihatan Daerah diberi dana secara langsung bagi kos luar jangka berkaitan pengurusan pesakit Covid-19. - Bernama