Salah guna kuasa: Bekas Pengurus Besar PPNT didakwa dua pertuduhan

Sa'adon kelihatan tenang semasa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini terhadap dua pertuduhan salah guna kuasa membabitkan pembekalan pejantan dan induk bebiri bagi projek PPNT di Kampung Pelam, di sini, bernilai RM303,546, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Che Sa'adon Che Yahya, 55, didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dengan menggunakan jawatannya, memilih Arcana Jaya Enterprise milik anaknya, Muhammad Faris Che Sa'adon, bagi membuat pembekalan dan menghantar pejantan dan induk bebiri berjumlah RM107,050, untuk projek fasa 1, PPNT di Kampung Pelam, di sini.

Che Sa'adon yang ketika itu merupakan Ahli Lembaga Pengarah Gapets Sdn Bhd didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Gapets Sdn Bhd, pada 1 November 2016.

Tertuduh turut didakwa melakukan salah guna kuasa, menggunakan syarikat sama membekalkan perkara sama yang bernilai RM196,496 untuk projek sama bagi fasa 2, di pejabat sama, pada 4 Disember 2016.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama iaitu penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan 19 Mac depan adalah tarikh sebutan semula.

Tahun lalu, tertuduh pernah dihadapkan ke mahkamah atas dua dakwaan membuat tuntutan palsu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia