Ibu, bayi enam bulan maut kemalangan

Seorang ibu dan bayi lelakinya maut dalam kemalangan melibatkan kereta Proton Wira dan Nissan Cefiro di Ladang CEP Simpang Renggam, Kluang pada Selasa.
Seorang ibu dan bayi lelakinya maut dalam kemalangan melibatkan kereta Proton Wira dan Nissan Cefiro di Ladang CEP Simpang Renggam, Kluang pada Selasa.
A
A
A

KLUANG - Seorang ibu dan bayi lelakinya berusia enam bulan maut manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Ladang CEP Simpang Renggam, dekat sini pada Selasa.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Affendi Mustafa berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 1.57 petang.

Katanya, kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Wira dipercayai dari arah Simpang Renggam ke Kluang dan Nissan Cefiro yang datang dari arah bertentangan.

"Kemalangan itu mengakibatkan tiga mangsa tersepit di tempat duduk manakala dua mangsa dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom di sini oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.

"Enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT). Bomba menggunakan hydraulic cutter bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, penumpang Proton Wira, Norashidah Zakaria, 35, dan bayinya, Azrah Hanan Muhammad Shahril meninggal dunia.

Menurutnya, dua lagi yang berada dalam Proton Wira, Manja Jaafar, 55, dan Mohd Zul Shahri, 56, dan pemandu Nissan Cefiro, Muhammad Shahril Amran, 37, cedera.

Affendi berkata, operasi menyelamat mangsa selesai pada jam 3.06 petang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dalam Facebook miliknya pada Selasa, melahirkan rasa sedih selepas mendapat tahu berkenaan kemalangan tersebut.

"Berita duka dari Simpang Renggam. Tatkala saya sedang kalut bergelut di Parlimen, perkhabaran duka dari Simpang Renggam menyapa...

"Abang Apam (saudara Shahril) orang kuat AJSR dan peniaga apam di Simpang Renggam mengalami kemalangan yang telah meragut nyawa isteri dan bayinya. Semoga Abang Apam bertabah dan diberikan kekuatan. Doa kami bersama Abang Apam.

"Bagi arwahnya, doa kami mengiringi semoga mereka ditempatkan bersama para salihin di syurga," tulisnya.