30 syarikat pemula terpilih sertai SAP 2021

Datuk Teng Chang Khim
Datuk Teng Chang Khim
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 30 daripada 165 syarikat pemula terpilih menyertai kohort keempat Program Accelerator Selangor (SAP) 2021 anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, lima fokus utama tahun ini ialah bidang pertanian, teknologi perbankan, teknologi hijau, e-dagang dan perbandaran pintar atau Smart City Solutions.

Menurutnya, sembilan daripada syarikat terpilih menawarkan penyelesaian e-dagang, diikuti teknologi pertanian (6), teknologi perbankan (6), penyelesaian teknologi hijau (6), teknologi pendidikan (3) dan perbandaran pintar (1).

"Sebanyak 10 syarikat terbaik bakal membawa pulang faedah tambahan manakala lima lagi akan membawa pulang wang daripada kumpulan hadiah wang tunai bernilai RM50,000 serta faedah tambahan lain, " katanya pada perasmian SAP 2021 secara maya pada Selasa.

Turut hadir ialah penaja utama SAP 2021, Affin Bank diwakili Pengarah Eksekutif Perbankan PKS, Affin Bank, Lim Kee Yeong dan Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping.

Antara 30 syarikat terpilih ialah Arleta Tech Sdn Bhd, Boss Boleh Sdn Bhd, Bukit Bunga Dinamik Sdn Bhd, Deepagi Enterprise, Duittech International Sdn Bhd, EdaBeran Group Sdn Bhd, Emerging Payments Sdn Bhd, EMLAB Sdn Bhd, Geomax Rubber Innovative Products Sdn Bhd dan GFI Fintech Sdn Bhd.

Chang Khim berkata, pandemik Covid-19 menjejaskan syarikat lama sementara perniagaan teknologi pertanian, teknologi perbankan, teknologi hijau, e-dagang dan perbandaran pintar dilihat semakin berkembang.

Jelasnya, situasi itu menunjukkan penyelesaian e-dagang, teknologi perbankan dan perbandaran pintar sangat relevan bagi memastikan perniagaan dapat diteruskan walaupun dalam keadaan pandemik.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah fokus utama kerajaan Selangor untuk memulihkan ekonomi melalui digitalisasi, penggunaan teknologi dalam operasi perniagaan, dan juga dalam memastikan keselamatan makanan terjamin.

"Selangor berjaya melancarkan pelbagai siri program pendigitalan seperti empat pusingan kempen Selangor E-Bazar dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM7 juta memberi manfaat kepada hampir 300,000 peniaga dalam talian termasuk 75,000 peniaga baharu, menjana jualan langsung sebanyak RM145 juta," katanya.

SAP merupakan program berstruktur yang berlangsung selama tiga bulan bertujuan memberi persiapan agar 30 syarikat pemula itu bersedia untuk menerima pelaburan.

Lima syarikat terbaik juga akan berpeluang mendapatkan pelaburan.

Selain hadiah wang tunai, peserta juga akan mendapat bimbingan daripada mentor yang berpengalaman dan menimba ilmu melalui bengkel komprehensif dan memperoleh pendedahan yang berkaitan dengan industri.