Van polis bawa dua tahanan kes rogol kemalangan

Toyota Inova yang dipandu remaja perempuan berusia 19 tahun terseret bersama van polis ke tepi jalan dan berhenti di hadapan rumah kedai selepas terbabit kemalangan di di Kampung Beta Hulu di sini pada Selasa. -Foto ihsan polis
Toyota Inova yang dipandu remaja perempuan berusia 19 tahun terseret bersama van polis ke tepi jalan dan berhenti di hadapan rumah kedai selepas terbabit kemalangan di di Kampung Beta Hulu di sini pada Selasa. -Foto ihsan polis
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pegawai penyiasat polis berpangkat Inspektor cedera ringan pada tangan kiri selepas van dinaiki bersama dua tahanan kes rogol yang dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Mahkamah Kota Bharu terlibat dalam kemalangan di Kampung Beta Hulu di sini pada Selasa.

Kejadian pada jam 9.40 pagi itu membabitkan van polis jenis Toyota Hiace dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Inova yang dipandu seorang remaja perempuan berusia 19 tahun.

Remaja perempuan itu turut cedera pada kaki kanan.

Mangsa lain, Lans Koperal berusia 29 tahun yang memandu van polis dan dua lagi anggota bersama dua tahanan di tempat duduk belakang dalam van tersebut pula tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, van polis dipandu dari Ibu Pejabat Polis Kuala Krai menuju ke Mahkamah Kota Bharu melalui Jalan Dewan Beta Kemubu.

Katanya, van dinaiki pegawai polis, dua anggota pengiring dan dua tahanan itu atas urusan pertuduhan di Mahkamah Kota Bharu.

“Sampai di tempat kejadian dengan tiba-tiba MPV jenis Toyota Inova yang dipandu seorang remaja perempuan keluar dari simpang sebelah kiri secara mengejut lalu masuk laluan ke Kota Bharu dan pemandu van polis memperlahankan kenderaan.

“Setelah memerhatikan tiada kenderaan di lorong bertentangan, pemandu polis cuba memotong, namun pada masa yang sama remaja itu pula secara tiba-tiba membelok ke kanan untuk masuk ke simpang sebelah kanan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu polis membrek secara mengejut tetapi terlanggar bahagian pintu sebelah kanan hadapan Toyota Inova. Kedua-dua kenderaan terseret dan terhenti di hadapan sebuah rumah kedai menjual ikan yang tutup di bahagian sebelah kanan arah Kota Bharu.

“Akibat kemalangan tersebut, dua mangsa mengalami kecederaan manakala yang lainnya tidak cedera.

“Kes disiasat mengikut seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan diteruskan untuk menilai punca kemalangan sebenar,” katanya.