Pertimbang vaksinasi kepada pekerja asing tiada dokumen

M Kula Segaran - Foto Bernama
M Kula Segaran - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa mempertimbangkan untuk memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada pekerja tanpa dokumen bagi membolehkan imuniti kelompok dicapai dalam komuniti berkenaan.

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran ketika membuat gesaan itu pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Selasa berkata, imuniti kelompok tidak akan menjadi efektif sekiranya individu tanpa dokumen dipinggirkan daripada menerima suntikan vaksin Covid-19 kerana golongan itu mempunyai risiko lebih tinggi untuk dijangkiti.

Beliau menekankan, tindakan mengasingkan atau menyasarkan pekerja kerana tidak mempunyai dokumen sah adalah tidak adil dalam situasi pandemik sekarang selain melanggar Konvensyen Buruh Antarabangsa.

“Alternatif lebih baik ialah pengampunan secara umum untuk migran tanpa dokumen dan memulakan usaha vaksinasi kepada golongan ini secara bergerak ke seluruh negara melalui kerjasama persatuan masyarakat,” katanya.

“Pengampunan ini boleh bersifat sebagai langkah sementara, dengan meneliti punca mereka ini tidak mempunyai dokumen dan peranan mereka dalam ekonomi negara,” katanya.

Menurut Kula berdasarkan laporan terkini, sebanyak 15 daripada 26 kluster Covid-19 telah dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan sebagai kluster tempat kerja.

“Terdapat ramai pekerja tanpa dokumen yang bekerja di kilang-kilang. Mereka juga biasanya tinggal dalam keadaan sesak, sekali gus menjadikan golongan ini lebih berisiko untuk dijangkiti Covid-19,” katanya.

Menurut laporan Bank Dunia, pada tahun 2017 dianggarkan terdapat sekitar 2.96 hingga 3.26 juta pekerja asing, termasuk 1.23 hingga 1.46 milion pekerja migran di Malaysia berada dalam keadaan tidak teratur.

Artikel Berkaitan:

Kula berkata, walaupun kerajaan menyasarkan rakyat Malaysia divaksin sepenuhnya pada Disember ini, namun negara masih berada dalam keadaan tidak selamat sehinggalah sebahagian besar pekerja asing yang sah mahupun tidak divaksin.

“Setiap individu yang mahu divaksin patut divaksin. Memandangkan kita sedang berusaha untuk mendapat bekalan vaksin yang cukup, vaksin patut diberikan juga kepada semua individu tanpa dokumen,” katanya.

Kula menambah, vaksinasi bukan hanya dapat menyelamatkan nyawa, malah dapat mengurangkan kos bagi sistem kesihatan dan membantu negara untuk menamatkan sekatan pergerakan yang memberi kesan kepada ekonomi dan masyarakat. - Bernama