Penduduk jumpa pistol ditanam dalam kawasan paya

Kamarul Zaman (kanan) dan Mohd Roze menunjukkan pistol yang dipercayai telah lama ditinggalkan dan ditanam dalam paya di Alor Janggus.
Kamarul Zaman (kanan) dan Mohd Roze menunjukkan pistol yang dipercayai telah lama ditinggalkan dan ditanam dalam paya di Alor Janggus.
A
A
A

ALOR SETAR - Sepucuk pistol ditemui dalam kawasan hutan paya Jalan Alor Janggus, dekat sini oleh penduduk ketika mengorek tanah pada pagi Isnin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada pistol berkenaan kemungkinan digunakan dalam kejadian jenayah sebelum ditanam di kawasan berkenaan.

Menurutnya, penemuan pistol berkenaan adalah hasil maklumat orang ramai yang menjumpai objek menyerupai sepucuk pistol sekitar 11.45 pagi Isnin.

“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bergegas ke tempat kejadian dengan dibantu pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari.

Kamarul Zaman berkata, lokasi pistol berkenaan dijumpai merupakan kawasan hutan kecil bertanah paya yang berair dan berdekatan kawasan penempatan.

“Hasil pemeriksaan, mengesahkan ia adalah sepucuk pistol dipercayai telah lama ditinggalkan dengan ditanam di dalam tanah di kawasan tersebut. Polis akan melakukan pemeriksaan lanjut dan ujian balistik bagi memastikan jenis serta kebolehgunaan senjata api tersebut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Artikel Berkaitan:

“Saya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penemuan senjata api ini agar tampil membantu siasatan, dengan menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Setar di talian 04-7747 222,” katanya.