Apa guna kami di sini jika darurat telah batal: Noh

NOH OMAR
NOH OMAR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, Tan Sri Noh Omar menyifatkan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi mendengar penerangan kerajaan yang berlangsung selama lima hari tidak wajar diadakan sekiranya benar Proklamasi Darurat telah dibatalkan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang itu turut mempertikai peranan dan fungsi jawatankuasa itu jika Jemaah Kabinet mempunyai kuasa untuk menamatkan Proklamasi Darurat termasuk membatalkan semua ordinan berkaitan tanpa merujuk kepada jawatankuasa berkenaan.

Menurutnya, jawatankuasa itu dilantik untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai keperluan pelaksanaan dan tempoh penamatan darurat.

“Saya merupakan ahli jawatankuasa terlibat yang dilantik untuk menasihati Agong berkenaan penamatan darurat, jika keputusan dibuat Kabinet, tidak guna kami dilantik. Sedangkan keputusan nasihat untuk sambung atau tidak adalah tugas kami,” katanya dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Selasa.

Noh berkata, jika keputusan penamatan darurat telah dibuat, sidang Dewan Rakyat yang bermula sejak semalam tidak perlu diadakan.

“Kalau betul darurat telah 'direvoke’ (dibatalkan), tiada guna kita Ahli-ahli Parlimen berada di sini untuk berbincang,” katanya.

Pertikaian status pembatalan Proklamasi Darurat terus menghangatkan Dewan Rakyat pada Selasa apabila ia terus dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen sejak pagi tadi.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, pula terus menegaskan bahawa perincian berhubung ordinan darurat akan diperjelas oleh menteri undang-undang secara terperinci pada Isnin depan termasuk persoalan membabitkan isu berbangkit.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang tamat pada 1 Ogos ini.

Katanya, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat terbatal.