MEF harap MPN libatkan pandangan majikan sektor swasta

Syed Hussain Syed Husman
Syed Hussain Syed Husman
A
A
A

KUALA LUMPUR, - Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berharap dapat mengambil bahagian dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memastikan pandangan dan cadangan majikan sektor swasta boleh dilihat dengan jelas.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, MEF sebagai wakil majikan sektor swasta terbesar di Malaysia berharap dapat dilibatkan oleh MPN sebagai pihak berkepentingan majikan dalam mencartakan hala tuju Malaysia ke arah pemulihan sepenuhnya.

Beliau berkata, penubuhan portal awam MPN juga akan menjadi rujukan berguna kepada majikan dan orang ramai mengenai status Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta prosedur operasi standard (SOP) terkini yang telah menimbulkan banyak kekeliruan sebelum ini.

Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan pada 23 Julai menyatakan, MPN telah bersetuju untuk mengundang wakil pihak pembangkang, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta pakar dari pelbagai industri untuk menyertai majlis berkenaan.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan berkata, MPN akan memberikan maklumat mengenai aspek-aspek PPN kepada rakyat secara telus dan berterus terang melalui portal rasmi PPN yang dilancarkan semalam.

Sementara itu, mengenai dasar 'tidak berpatah balik' kerajaan berkaitan dengan PPN, Syed Hussain berkata, kerajaan telah memberi jaminan kepada majikan bahawa mereka tidak akan kembali ke kawalan pergerakan pada masa akan datang - langkah positif bagi rakyat dan ekonomi serta pada masa yang sama mengelakkan kekeliruan dan halangan seterusnya.

Beliau berkata, MEF turut menantikan Rancangan Malaysia ke-12 dan Belanjawan 2022 untuk meletakkan Malaysia kembali ke landasan dari segi pertumbuhan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu Dewan Rakyat pada Isnin, kerajaan menjangkakan banyak negeri akan berpindah ke Fasa Empat atau fasa terakhir PPN seawal bulan Oktober.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, negeri-negeri yang telah berada di fasa dua PPN tidak akan kembali ke fasa satu, dan negeri-negeri yang telah beralih ke fasa tiga tidak akan kembali ke fasa dua kerana pendekatan PPN menekankan pada strategi keluar dan 'tidak berpatah balik'. - Bernama