Kes sembuh tertinggi, kes positif meningkat 16,117

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia melaporkan kes sembuh tertinggi pada Selasa dengan 11,526 pesakit telah pulih.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatifnya, 865,439 kes.

"Ia bersamaan dengan 82.9 peratus," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Kes sembuh tertinggi sebelum ini direkodkan pada 23 Julai dengan 10,094 kes.

Menurutnya, kes harian positif Covid-19 kembali meningkat selepas 16,117 kes baharu dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia menyaksikan Lembah Klang masih menjadi penyumbang utama angka tersebut iaitu Selangor (6,616) dan Kuala Lumpur (2,457) kes.

Sebanyak 1,000 kes direkodkan di Kedah, Johor (907), Sabah (741), Melaka (674), Negeri Sembilan (669), Pulau Pinang (618), Kelantan (592), Perak (583), Sarawak (405), Pahang (403), Terengganu (317) dan Putrajaya (112).

Hanya Labuan dan Perlis mencatatkan kes baharu dua angka iaitu masing-masing 11 dan dua.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, daripada 16,117 kes baharu, terdapat 87 kes berada di kategori lima.

"Sebanyak 95.4 peratus daripadanya tiada sejarah vaksinasi," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 124 kes dikelaskan sebagai kategori empat yang mana 83.9 peratus tidak mempunyai sejarah vaksin.

"Bagi kategori tiga pula, sejumlah 135 kes direkodkan yang turut melibatkan 73.3 peratus individu tiada sejarah vaksinasi," katanya.

Menurutnya, seramai 6,710 pesakit dikategorikan sebagai kategori dua manakala 9,061 pesakit kategori satu.

"Peratusan bagi pesakit kategori dua dan satu yang tiada sejarah vaksinasi masing-masing adalah 79.5 dan 94.4 peratus," katanya.

Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah 1,044,071.

Ujarnya, sebanyak 170,224 kes aktif di seluruh negara yang mana 1,023 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

"Kes yang memerlukan bantuan pernafasan adalah 524," katanya.

Sementara itu, kes kematian kekal 207 kes dua hari berturut-turut.

Ia membabitkan 181 rakyat tempatan dan 26 warga asing.

"Jumlah keseluruhan kes kematian meningkat kepada 8,408 kes," katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, sebanyak 96 kes kematian direkodkan di Selangor, Kuala Lumpur (34), Johor (21), Melaka (17), Kedah (15), Negeri Sembilan (tujuh) dan Kelantan (lima).

"Terengganu dan Sabah merekodkan tiga kes kematian, dua kes di Sarawak dan Pahang serta satu di Pulau Pinang serta Labuan," katanya.