X

Kindly register in order to view this article
!

Syarikat didenda RM35,000 sebabkan kematian pekerja

Gambar hiasan
A
A

IPOH - Sebuah syarikat membuat perancah didenda RM35,000 kerana kecuaian sehingga menyebabkan kematian dua pekerja warga Myanmar di Mahkamah Sesyen Ipoh, di sini, pada Selasa.

Syarikat Team Force Scaffolding & Insulation Sdn Bhd dituduh melakukan kesalahan itu pada 5 Oktober 2020 lebih kurang jam 12 tengah hari di Tasek Corporation Berhad, Persiaran Tasek, Tasek Industrial Estate, di sini.

Mengikut pertuduhan, sebagai majikan, syarikat tersebut gagal memastikan setakat yang praktik keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja melibatkan perancah yang dipasang di tingkat enam dalam kalsiner kiln tiga mengikut reka bentuk selamat sehingga menyebabkan Nay Lin, 25, dan Maung Maung Win, 32, mengalami kemalangan akibat jatuh di tempat tinggi.

Perkara itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang boleh dihukum Seksyen 19 Akta sama membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Syarikat berkenaan yang diwakili pengarahnya, Lau Kiew Ling, 39, kemudian mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan.

Pihak pendakwaan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang diketuai Hasan Abdul Rahman kemudian meminta agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal agar dapat memberikan pengajaran kepada syarikat lain supaya kejadian sama tidak berulang.

Hakim Norashima Khalid kemudiannya menjatuhi hukuman denda RM35,000 atau enam bulan penjara jika denda tersebut gagal dijelaskan.

Syarikat tersebut bagaimanapun menjelaskan bayaran denda tersebut selepas tamat prosiding.

Pada 5 Oktober tahun lalu, dua pekerja warga Myanmar maut selepas terjatuh ketika membuka perancah yang dipasang di bahagian dalam ruang kalsiner sebuah kilang simen di sini.

Ketika kejadian, mangsa sedang memotong dawai pengikat pelantar pada perancah, struktur pelantar perancah kemudian menjadi tidak stabil dan condong ke arah mangsa sehingga menyebabkan kedua-duanya terjatuh pada ketinggian kira-kira 38 meter.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!