DPKM 2.0 tingkatkan kesejahteraan pemakanan rakyat

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

PUTRAJAYA - Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia 2.0 (DPKM 2.0) dengan tiga matlamat telah dilancarkan untuk meningkatkan dan mengekalkan kesejahteraan pemakanan rakyat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiga matlamat tersebut adalah untuk meningkatkan status pemakanan dan mengurangkan prevalen penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan dan memperkukuhkan sekuriti makanan serta pemakanan.

"Bagi mencapai matlamat DPKM 2.0, 13 strategi yang menyeluruh turut dirangka," katanya dalam ucapan perasmian DPKM 2.0 secara maya pada Selasa.

Menurutnya, seiring dengan dasar yang digubal, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada masa sama turut menyemak semula Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) 2016-2025 yang menyokong strategi -strategi dalam Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia.

"Selain itu, isu-isu pemakanan utama negara seperti sekuriti makanan dan pemakanan juga telah diintegrasikan dalam Dasar Agromakanan (DAN) 2.0," katanya.

Muhyiddin berkata, KKM telah mengetuai Kluster Keselamatan Makanan dan Pemakanan di bawah Jawatankuasa Kabinet Sekuriti Makanan Negara yang dipengerusikan olehnya sendiri.

"Dalam hal ini, isu-isu berkaitan sekuriti makanan dan pemakanan terutama semasa bencana merupakan antara perkara yang diberi perhatian serius oleh kerajaan," katanya.

Dengan semakan dasar itu, Muhyiddin berkata, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang sihat melalui kesejahteraan pemakanan dari usia muda.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, bagi memerangi masalah malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, satu jawatankuasa bersama yang melibatkan pelbagai agensi pemegang taruh yang berkaitan akan ditubuhkan dalam waktu terdekat," katanya.

Ujarnya, pembangunan sosioekonomi yang pesat di Malaysia termasuk perubahan dalam gaya hidup dan amalan pemakanan telah memberi kesan kepada kesejahteraan pemakanan serta pola penyakit dalam masyarakat.

"Keadaan ini menyebabkan negara kini berhadapan dengan masalah beban berganda malpemakanan dan peningkatan kadar obesiti di setiap peringkat umur.

"Negara juga berdepan dengan masalah kekurangan pemakanan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak bawah umur lima tahun yang memerlukan perhatian serius," katanya.

Tambahnya, masalah malpemakanan merupakan satu krisis kesihatan sejagat terutamanya di saat pandemik Covid-19 sedang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia.

Selain beban penyakit tidak berjangkit yang berpunca daripada pemakanan seperti diabetes dan darah tinggi, Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan pada tahun 2030, Malaysia akan mencapai status negara tua dengan peratus penduduk berumur 60 tahun dan ke atas adalah 15.3 peratus.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, usaha menyemak semula DPKM 2.0 telah dilakukan oleh kumpulan kerja teknikal Dasar Pemakanan di bawah Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan Untuk Makanan dan Pemakanan.

"Dasar ini telah diluluskan oleh jemaah menteri pada Jun lalu," katanya.