Polis jadi 'bidan terjun' selamatkan bayi lahir dalam bot

Pegawai polis memeriksa keadaan wanita dan anaknya yang baharu dilahirkan.
Pegawai polis memeriksa keadaan wanita dan anaknya yang baharu dilahirkan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan pasukan polis menggunakan tali pelitup muka untuk mengikat uri berjaya menyelamatkan nyawa seorang bayi perempuan daripada dijangkiti kuman selepas dilahirkan di atas bot dalam kejadian di Jeti Penambang berhampiran Safma di sini pada malam Isnin.

Malah ibu kepada bayi terbabit yang berusia 30-an yang turut kelihatan lesu dipercayai kehilangan banyak darah selepas melahirkan turut diselamatkan dengan pantas oleh pasukan polis yang berada di lokasi kejadian.

Difahamkan kejadian itu berlaku pada jam 7.30 malam, apabila wanita yang tinggal di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya itu terpaksa dibawa menaiki bot penambang selepas mengadu sakit mahu bersalin.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, wanita terbabit tidak dapat menahan dan terpaksa melahirkan anaknya di atas bot berkenaan.

Sebaik tiba di jeti, kehadiran bot berkenaan menarik perhatian pasukan polis yang sedang berkawal susulan kawasan Pulau Gaya diisytiharkan sebagai kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sebaik diperiksa, pasukan polis dimaklumkan mengenai kelahiran itu dan terus bertindak membantu mengangkat wanita dan bayinya naik ke atas jeti.

Pasukan polis yang diketuai Asisten Superintendan Johri Rubinsin bersama dua anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terus bertindak menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan segera.

Panggilan itu kemudian disambungkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) sebelum dijawab oleh doktor bertugas.

Artikel Berkaitan:

Johri kemudiannya menerangkan keadaan wanita yang sudah kelesuan selain bayi yang dilahirkan masih bersambung dengan uri pada tali pusat.

Dalam keadaan cemas, doktor bertugas terus meminta Johri memberi pertolongan awal sebelum ketibaan ambulans iaitu mengikat uri bayi bagi mengelakkan jangkitan kuman yang membahayakan nyawa bayi terbabit.

Bagaimanapun, pasukan polis tidak mempunyai tali untuk melakukan tindakan itu sebelum mencadangkan penggunaan tali pelitup muka untuk mengikat uri bayi berkenaan.

Perkara itu dipersetujui doktor bertugas dan Johri terus mengikat uri bayi terbabit dan menunggu kehadiran ambulans.

Keadaan menjadi lebih terkawal selepas ketibaan pasukan paramedik HQEI yang kemudiannya memberikan rawatan awal sebelum wanita itu bersama anaknya dibawa ke hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, wanita terbabit kini berada dalam keadaan selamat di HQEI bersama bayi perempuannya.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu juga ingin menjadikan bayi itu sebagai anak angkat.

"IPD Kota Kinabalu juga merancang untuk melawatnya di hospital, namun tertakluk kepada kebenaran pihak HQEI," katanya.